Laporan mengenai 2,000 permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tergantung tanpa keputusan sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu amat mengejutkan.
Menurut Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran, hal itu sewajarnya diselesaikan segera memandangkan pemohon bantuan merupakan rakyat berpendapatan rendah dan menghadapi tekanan eknomi yang hebat ketika pandemik Covid 19.
"Saya semak dan rasa terkilan mendapati terdapat lebih dari 2000 permohonan masih tergantung tanpa sebarang tindakan.
"Saya dimaklumkan oleh pihak JKM perkara ini berlaku kerana ramai pegawai masih bercuti dan akibatnya pihak JKM telah kekurangan tenaga kerja.
"Dalam masa yang sama saya juga dimaklumkan bahawa pihak JKM akan mewujudkan pasukan bertindak dalam tempoh terdekat bagi menangani masalah yang mereka hadapi.
"Persoalan saya, berapa lama masa yang diperlukan bagi semak dan proses setiap permohonan yang tergendala termasuk permohonan-permohonan baru?" tanyanya dalam satu kenyataan.
Selain isu bantuan JKM, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan itu berkata, peningkatan kes-kes Covid 19 yang mendadak sejak kebelakangan ini juga perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak kerajaan.
Katanya, pelaksanaan semula langkah PKP Bersyarat di Lembah Kelang melemahkan lagi ekonomi rakyat yang sedia lemah sejak Mac lalu.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar kerajaan memperkenalkan moratorium fasa kedua bagi mengurangkan beban rakyat.
"Saya melihat harus bagi Kementerian Kewangan mempertimbangkan moratorium fasa kedua untuk meringankan beban dari kesan tekanan ekonomi yang bakal rakyat lalui pada ketika PKPB kali ini.
"Saya berharap Kementerian Kewangan memandang serius perkara yang dibangkitkan demi kesejahteraan dan mengelak kesenjangan ekonomi semakin teruk.
"Saya juga yakin kementerian akan mengambil serius perkara ini jika mereka benar-benar prihatin terhadap ekonomi rakyat," katanya lagi.
コメント