Lawatan selama tiga hari Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun yang berakhir hari ini berjaya membawa pulang sejumlah pelaburan asing yang lumayan.
Menurut Anwar, biar pun lawatan kali ini fokus untuk menghadiri Persidangan Nikkei 2024 tetapi beliau telah menemui tokoh tokoh industri Jepun dan menyampaikan ucapan di beberapa majlis akademik yang penting.
"Secara keseluruhannya, lawatan kerja kali ini mencapai objektifnya dari aspek mengukuhkan persahabatan antara kedua-dua negara yang terjalin menerusi pelbagai bidang.
"Selain itu lawatan ini juga berjaya meraih potensi pelaburan baharu bernilai RM1.45 bilion manakala pontensi eksport berjumlah RM550 juta," katanya.
Sebelum itu, PM telah menyampaikan ucapan bagi meraikan jasa seorang pemikir serta tokoh filasuf Jepun, Prof Toshihiko Izutsu di Universiti Keio, Tokyo.
Menurut Anwar, Prof Izutsu semasa hayatnya telah memberi impak besar kepada landskap akademik dan falsafah global kerana ilmunya yang mendalam berkenaan teologi Islam dan mempunyai karya besar dalam disiplin ilmu "Sufism serta Taoism".
Prof Izutsu juga, katanya, berjasa besar menterjemahkan Al-Quran ke dalam bahasa Jepun.
"Tugas menterjemahkan Al-Quran sangat mencabar kerana dimensi linguistik, teologi, falsafah, spiritual, dan mistik yang kompleks. Bagi umat Islam, Al-Quran tidak sekadar teks tetapi ia adalah wahyu Ilahi dengan lapisan makna yang mendalam.
"Oleh itu, pendekatan Izutsu dalam terjemahan melibatkan lebih daripada sekadar menukar kata-kata Arab ke dalam bahasa Jepun bahkan ia perlu pemahaman yang mendalam tentang bahasa Arab, tradisi Islam serta bahasa semitik.
"Dengan menterjemahkan Al-Quran ke dalam bahasa Jepun, Izutsu menjadikan teks suci ini boleh diakses oleh pembaca berbahasa Jepun, sekaligus menggalakkan pemahaman silang budaya," katanya lagi.
PM berangkat pulang ke Kuala Lumpur hari ini setelah berjaya dalam siri pertemuan bersama pemimpin Asia Tenggara dan tokoh tokoh industri Jepun yang dihadiri wakil dari IHI Corporation, Nisshin OilliO Group Ltd., Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas pada semalam.
Dalam pertemuan itu, PM memberi jaminan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi terbaik dan pilihan untuk membuat pelaburan berikutan kestabilan politik dan ekosistem pelaburan yang kondusif.
Comments