Lawatan Perdana Menteri (PM) Jepun, Shigeru Ishiba ke Malaysia pagi tadi mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan negara matahari terbit itu.
Menurut PM Datuk Seri Anwar Ibrahim, kunjungan itu merupakan kali pertama sejak Ishiba dilantik mengetuai kerajaan negara tersebut.
"Perdana Menteri Shigeru Ishiba dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia. Ia adalah lawatan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan Perdana Menteri Jepun pada Oktober tahun lalu.
"Sebaik tiba di Perdana Putra, PM Ishiba dan delegasi Jepun diberikan sambutan rasmi dan pemeriksaan pasukan Kawalan Kehormatan daripada Batalion Pertama Rejimen Melayu Diraja
"Saya menghargai penghormatan diberikan PM Ishiba kepada Malaysia yang dipilih sebagai negara pertama untuk mengadakan lawatan rasmi dan mesyuarat dua hala. Ini menggambarkan keutuhan persahabatan dan kepentingan kerjasama Malaysia-Jepun," katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berpuas hati dengan hasil pertemuan bersama delegasi Jepun berkenaan kerana telah membincangkan banyak isu penting melibatkan kepentingan kedua dua negara.
"Usai istiadat, saya dan PM Shiba menghadiri mesyuarat terhad bersama beberapa pimpinan bagi membicarakan isu-isu strategik terkait kepentingan kedua-dua negara, serta usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Jepun yang kini di tahap perkongsian strategik komprehensif," katanya lagi.
Jepun merupakan rakan ekonomi utama Malaysia, dengan sejumlah 2,821 projek pembuatan melibatkan penyertaan Jepun dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2024.
Projek-projek itu melibatkan pelaburan bernilai RM105.2 bilion (AS$30.4 bilion) dan telah menjana peluang pekerjaan untuk kira-kira 344,996 orang.
Jepun adalah pelabur asing keempat terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia dan rakan perdagangan keempat terbesar dengan jumlah perdagangan sebanyak RM156.75 bilion (AS$34.41 bilion) pada 2023.