Lawatan Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar baru baru ini ke Mesir, Peru dan Brazil tidak sama sekali menggunakan dana kerajaan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, sebaliknya lawatan kerja itu mewakili badan pemikir Social and Economic Research Initiative (Seri) dan dilakukan atas jemputan negara terbabit.
"Saya tidak menyertai lawatan tersebut tetapi saya meneliti fitnah dan tohmahan jahat yang dibuat pelbagai pihak.
"Saya dapat pengesahan dari Ketua Setiausaha akhbar Perdana Menteri bahawa Nurul Izzah dan Datuk Faiz yang juga pengerusi ISIS, kedua dua mereka telah dijemput oleh penganjur.
"Nurul Izzah dijemput kerana antara lain (isteri PM) Datuk Seri Dr Wan Azizah tidak mengikuti rombongan. Beliau telah dijemput sebagai pengarah badan pemikir SERI," katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di Putrajaya, hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagaimana dilapor Malaysiakini, menimbulkan persoalan sama ada keberadaan Nurul Izzah yang juga anak kepada Perdana Menteri mewakili badan bukan kerajaan dalam lawatan itu ditanggung kerajaan atau sebaliknya.
Sebelum itu, laskar siber pembangkang juga telah beberapa kali memuat naik hantaran mempertikaikan keperluan Nurul Izzah menyertai lawatan kerana beliau bukan sebahagian daripada anggota kerajaan.
Comentarios