
Lawatan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bahrain bukan sahaja berjaya meningkatkan hubungan dua hala tetapi juga kerjasama ekonomi dan kesarjaaan Islam, terutama dalam bidang akademik.
PM dalam sidang medianya sebelum berangkat pulang semalam berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai sepanjang dua hari berada di Manama, ibu kota Bahrain.
"Alhamdulillah, kunjungan ini telah mencapai objektif dalam mengukuhkan hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan Bahrain.
"Penghargaan saya kepada Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Bin Hamad Al Khalifa atas undangan sebagai tamu negara.
"Di sela lawatan rasmi, saya turut diberi penghormatan sampaikan ucapan semasa Intra-Islamic Dialogue Conference (IIDC) yang dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif merangkap Pengerusi Majlis Hukama' Muslimin," katanya dalam muat naik di Facebook.
Sebelum berangkat pulang, delegasi Malaysia sempat mengadakan pertemuan dengan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb yang juga Pengerusi Majlis Hukama' Muslimin.

Dalam pertemuan itu, Anwar fokus kepada memorandum persefahaman (MoU) penubuhan Institut Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Al-Azhar Al-Sharif selain penawaran biasiswa buat pelajar Malaysia menyambung pelajaran di institusi berkenaan.
"Kami juga membincangkan soal penubuhan secara rasmi Majlis Hukama' Muslimin di Malaysia selain menyentuh hal ehwal Agama Islam dan situasi di Palestin.
"Saya turut memperkenalkan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad kepada Sheikh Al-Azhar Al-Sharif sebagai wakil Malaysia yang baharu di dalam Majlis Hukama' Muslimin," katanya dalam muat naik sebelum ini.
Berkenaan ekonomi, Anwar menerima kunjungan Menteri Kewangan dan Ekonomi Bahrain, Shaikh Salman Bin Khalifa Al Khalifa.
Perbincangan mereka berkisar kerjasama ekonomi dan kewangan antara kedua-dua negara yang perlu diperkukuh, termasuk isu mata wang kripto dan platform sandbox.
"Kami juga membincangkan kerjasama pelancongan, kesalinghubungan Kuala Lumpur - Manama dan sektor pembuatan.
"Bahrain menyatakan komitmen untuk menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China yang mana Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri, Putera Salman Bin Hamad Al Khalifa akan berangkat hadir," katanya lagi.
Comments