Lawatan rasmi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ke Arab Saudi baru-baru ini adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan diplomatik dan mempererat kerjasama antara Parlimen Malaysia dan Majlis Syura Arab Saudi.
Parlimen Malaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan, pada lawatan itu Johari telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Speaker Majlis Syura Kerajaan Arab Saudi, Sheikh Dr Abdullah bin Mohammed bin Ibrahim Al Sheikh.
Perbincangan tertumpu kepada kepentingan mempertingkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan pertukaran budaya selaras dengan aspirasi kedua-dua negara untuk memperkasa kerjasama di peringkat global dan rantau.
"Yang Dipertua Dewan Rakyat turut mengambil kesempatan dalam pertemuan ini untuk membincangkan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada 2025.
"Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama dengan negara-negara sahabat, termasuk Arab Saudi, dalam menjayakan kepengerusian ini dan memastikan ASEAN terus memainkan peranan strategik dalam menangani isu-isu serantau serta global," menurut kenyataan itu.
Sementara itu Johari yang juga Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 melihat hubungan erat dengan Arab Saudi sebagai satu keutamaan dalam usaha memperkasa peranan ASEAN sebagai blok ekonomi yang kukuh dan sebagai suara yang menyatukan dunia Islam.
"Kami berharap kerjasama ini dapat membuka ruang kepada peluang baharu, terutamanya dalam memperkukuh daya tahan ekonomi, keselamatan makanan, tenaga boleh diperbaharui, dan diplomasi serantau," katanya dalam kenyataan sama.
Selain mengadakan perbincangan diplomatik, Johari pada lawatan itu turut mengadakan sesi pertemuan bersama diaspora Malaysia di Riyadh.
Pertemuan itu bagi mendengar pandangan serta berkongsi perkembangan terkini negara, selain menekankan peranan penting rakyat Malaysia di luar negara sebagai duta kecil yang membawa nama baik negara di peringkat antarabangsa.
Comments