Lawatan delegasi Malaysia ke Rusia selama dua hari akan diisi dengan pelbagai perbicangan dua hala dan usaha menarik pelaburan bagi meningkatkan ekonomi negara dan negeri.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang menyertai delegasi Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia, beliau akan berusaha sebaik mungkin menarik pelaburan daripada negara beruang merah itu ke Selangor pada kunjungan kali ini.
"Alhamdulillah, delegasi Kerajaan Malaysia diketuai YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tiba di Vladivostok, Rusia bagi lawatan kerja dua hari ke Persekutuan Rusia sempena Eastern Economic Forum.
"Sejurus tiba, PM telah mempengerusikan Mesyuarat Khas ‘Pre-Council’ bagi membincangkan agenda semasa lawatan kerja ini.
"Saya turut mendengar taklimat serta laporan berkait perjalanan program sepanjang di Rusia serta memberikan input perihal negeri Selangor dan kesalinghubungannya dengan pelaburan langsung Rusia ke Malaysia," katanya dalam catatan di Facebook.
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berharap pertemuan antara Datuk Seri Anwar dan Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin akan membuahkan kejayaan dan mendorong peluang ekonomi buat Malaysia.
"InsyaAllah jadual padat sepanjang satu hari setengah ini akan diisi dengan pertemuan serta perbincangan bersama pelbagai pihak dan industri di Rusia dan terutamanya pertemuan khas Perdana Menteri bersama Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin.
"Mohon doakan agar segala urusan kami dipermudahkan," katanya lagi.
Comments