Konsep jihad dan mati syahid seharusnya diterangkan kepada umat Islam berdasarkan figh yang betul dan tidak secara semberono.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, ungkapan yang sering dibawa oleh penceramah pro Pas kebelakangan ini amat mengelirukan sekiranya tidak dinyatakan dalam konteks yang betul.
Katanya, jihad bukan terhad mengangkat senjata tetapi juga terdapat jihad melawan nafsu, memperjuangkan ekonomi, membetulkan politik dan sebagainya.
"Jadi apa apa pandangan yang memutuskan secara bermudah mudah (semberono) mengatakan bahawa melawan kerajaan mati syahid, itu adalah satu penyelewengan fakta, (penyelewengan) kepada ilmu itu sendiri.
"Dalam konteks kita hari ini, kita sebuah negara yang majoriti Islam, dipimpin oleh orang Islam. Kita ada sultan yang menjaga agama kita. Jadi adakah sebegitu (lawan pemerintah) dianggap mati syahid?
"Ini adalah fakta yang sangat bahaya, yang tidak betul. Jihad apa yang kita mahukan sekarang adalah untuk memerdekakan kita daripada pemikiran semacam ini," katanya dalam satu siaran di media.
Dalam konteks semasa, jihad mengangkat senjata, kata beliau hanya sesuai ditujukan kepada rejim Israel yang mengganasi umat Palestin.
"Mungkin ada satu jihad yang kita lawan (secara) perang, iaitu jihad menentang zionis Israel. Itulah jihad. Kezaliman berlaku.
"Itu pun dalam konteks hari ini, (mempertimbangkan) apakah yang kita boleh lakukan sesuai dengan kemampuan kita ada," katanya.
Beliau berharap para pendakwah menerangkan konsep jihad dan mati syahid dengan ilmu yang benar supaya rakyat tidak salah tanggap.
Katanya, konsep jihad yang betul boleh dirujuk kepada karya Dr Yusuf Qardhawi yang mengarang berjilid jilid buku mengenai figh jihad.
Sedangkan pandangan ustaz pembangkang mengenai jihad, kata Dr Zulkifli, sering kali mengelirukan dan tidak dijelaskan kepada para pengikut dengan sebaik baiknya.
"Pandangan (jihad) sebegitu jika tidak ada pencerahan, mungkin ada pengikut salah faham. Mereka angkat senjata maka siapa yang akan dipersalahkan?
"Kita harap semua asatizah bertanggungjawab dengan apa mereka katakan, supaya pengikut benar benar memahami apa kita sampaikan itu bawa keamanan, kedamaian," katanya lagi.
Beliau berharap ilmuan Islam Malaysia bangkit memberi pencerahan dalam isu jihad agar tidak lagi berlaku tragedi hitam mengorbankan nyawa melawan pihak berkuasa sebagaimana di Memali, Kedah pada 1985 lalu.
Comments