Oleh: Akmal Manaf
Komponen Kerajaan Perpaduan, MCA harus menunjukkan kesepaduan dalam menyokong dasar-dasar yang mementingkan kesejahteraan rakyat, termasuk yang bertujuan untuk mengawal kesan negatif penggunaan alkohol.
Pengarah Biro Dasar dan Kesihatan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Perak, Dr Ahmad Safwan Mohamad berkata, adalah penting untuk semua pemimpin politik Kerajaan Perpaduan untuk menyelesaikan isu-isu sensitif secara matang dan konstruktif.
Beliau berkata, keutamaan harus diberikan kepada dialog yang membina dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat, bukannya dengan membangkitkan kontroversi yang boleh menjejaskan perpaduan.
"Kita sedar bahawa Kerajaan Perpaduan dibentuk atas dasar kerjasama dan kepercayaan bersama untuk memajukan negara dan negeri.
"Justeru, sebarang kenyataan yang bersifat provokatif atau tidak berasas terhadap rakan gabungan hanya akan melemahkan keutuhan ini.
"Semua pihak diseru untuk mengutamakan kepentingan rakyat dan bekerjasama dalam memastikan kestabilan dan kesejahteraan terus terpelihara," katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Dr Ahmad Safwan berkata, sebagai negeri dengan masyarakat yang berbilang agama dan budaya, Perak sentiasa mengutamakan perpaduan dan keharmonian.
Katanya, isu sekatan jualan arak di kawasan tertentu harus dilihat sebagai langkah untuk menjaga sensitiviti masyarakat Islam yang menjadi majoriti di kawasan tersebut.
"Pada masa yang sama, ia juga mendukung usaha mengurangkan risiko kesihatan yang dikaitkan dengan penyalahgunaan alkohol, seperti penyakit hati, gangguan mental, dan kecederaan akibat kemalangan.
"Langkah kawalan penjualan minuman beralkohol bukan sahaja relevan dari aspek budaya, tetapi juga penting untuk mengurangkan beban kepada sistem kesihatan awam akibat penyakit dan masalah sosial yang berkaitan.
"Kami menyeru semua pihak untuk memfokuskan tenaga kepada isu rakyat yang lebih utama termasuklah kesihatan awam, peningkatan perkhidmatan perubatan, dan usaha mengatasi cabaran ekonomi.
"Dalam masa sama, kami juga akan terus menyokong dasar-dasar kerajaan yang menjaga kesejahteraan dan kesihatan masyarakat," ujarnya lagi.
Untuk rekod, pemimpin MCA Perak sebelum ini mengkritik Kerajaan Negeri susulan sekatan jualan arak di kawasan tertentu di Ipoh.
Larangan jualan arak di kawasan tertentu, disahkan oleh Datuk Bandar Rumaizi Baharin dipetik laporan Malaysiakini.
Rumaizi berkata, MBI meluluskan dasar untuk membuat kajian terhadap tuntutan penduduk dari kawasan majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.
Katanya, sekitar tahun 2020 dan 2021 larangan itu dilaksanakan di kawasan gugusan Manjoi susulan bantahan penduduk setempat.
Dia mendedahkan terdapat tuntutan sama di Ulu Chepor yang penduduknya 100 peratus Melayu-Islam dan mereka secara secara prinsipnya bersetuju.
Bagaimanapun, katanya, tuntutan masyarakat daripada Tambun, Rapat Setia dan Sungai Rokam masih dikaji.
コメント