Oleh: Abdullah Zaid
Pemimpin Pemuda Bersatu diingatkan agar mengutamakan fakta susulan tindakan terus mempertahankan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung keputusan Yang di-Dipertuan Agong ke-16 (YDPA) melantik Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, sewaktu berkempen di Pilihan Raya Kecil Nenggiri baru-baru ini.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan berkata, laporan polis Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semalam yang cuba menyeret media Suara Keadilan ke dalam isu tersebut adalah sesuatu yang tidak sewajarnya berlaku.
"AMK Wilayah Persekutuan ingin mengingatkan Wan Ahmad Fayhsal supaya tidak memutarbelitkan fakta dan berada dalam sindrom penafian yang secara jelas dan terang bahawa ucapan Muhyiddin merupakan satu bentuk cubaan untuk merendahkan kewibawaan YDPA-16 dalam pelantikan PM ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada November 2022 yang lepas.
"AMK Wilayah Persekutuan juga ingin bertanya, adakah kenyataan Wan Ahmad Fayhsal ini juga bermaksud untuk merendahkan kewibawaan dan kebijaksanaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang mengeluarkan titah (diambil tindakan) terhadap Muhyiddin Yassin tanpa melihat keseluruhan konteks ucapan Muhyiddin Yassin?," katanya dalam satu kenyataan.
Malah menurut AMK Wilayah, keputusan Agong melantik PM 10 sepatutnya tidak ditimbulkan lagi memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat sokongan majoriti melalui usul undi percaya dalam Dewan Rakyat pada Disember 2022, yang membuktikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.
"Wan Ahmad Fayhsal perlu berhenti bersikap baling batu sembunyi tangan terhadap isu ini.
"Hakikatnya, beliau sendiri perlu menasihati Muhyiddin supaya menghormati institusi raja dan menerima hakikat beliau tidak dilantik menjadi Perdana Menteri pada November 2022," kata kenyataan itu lagi.
Semalam, Wan Fahsyal dalam satu laporan polis mendakwa Suara Keadilan sebagai punca Muhyiddin Yassin menjadi sasaran kemarahan orang ramai.
Dakwanya, klip video ucapan Presiden Bersatu itu disunting bagi mengaitkan dengan isu 3R (Kaum, Agama, Institusi Diraja).
Comments