Laporan awal Lembaga Siasatan insiden dua buah helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung di udara lalu terhempas di Lumut, Perak pada 23 April lalu yang dikeluarkan hari ini menyatakan pihaknya sedang membuat penelitian lanjut terhadap data yang dianalisis daripada kotak hitam salah satu pesawat terbabit.
TLDM dalam kenyataan berkata, hanya pesawat HOM AW 139 mempunyai kotak hitam manakala helikopter Fennec yang telah dikeluarkan sejak 2003 tidak dilengkapi peralatan perakam data penerbangan pelbagai guna itu.
"Pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada tahun 2003 (21 tahun) tidak dilengkapi dengan peralatan tersebut. Data yang telah dianalisis daripada kotak hitam pesawat HOM AW139 telah diterima (3 Mei) daripada pihak OEM (pengilang peralatan tulen) untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan," kata kenyataan itu hari ini.
Kata kenyataan itu, lembaga siasatan yang dianggotai oleh sembilan pegawai TLDM yang mempunyai kepakaran penerbangan dan kejuruteraan udara akan mendapatkan kerjasama Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter, pengeluar Fennec bagi melengkapkan siasatan termasuk analisis penuh rakaman kotak hitam pesawat HOM.
Lembaga Siasatan ini turut mendapat bantuan daripada Markas Tentera Udara, Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Lembaga Siasatan sedang meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang telah menyumbang kepada insiden tersebut. Perkara yang diteliti merangkumi aspek analisis semula profil penerbangan pada hari kejadian dengan menggunakan simulator penerbangan dan juga pesawat sebenar," ujarnya.
Dalam pada itu, laporan itu berkata kesemua kru udara terbabit disahkan mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat (fit to fly) selain tahap kelayakan penerbangan mereka masih sah dan tidak tamat tempoh.
Tambahnya kedua-dua pesawat turut disahkan berada dalam keadaan 'selamat untuk terbang' atau airworthy semasa hari kejadian.
"Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak OEM. Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan," katanya.
Laporan akhir yang terperinci hasil siasatan itu dijangka siap pada 29 Mei ini dengan TLDM memberikan jaminan ia akan dilaksanakan dengan telus dan komprehensif bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"TLDM akan terus berusaha untuk memastikan aspek kebajikan ahli keluarga mangsa nahas diuruskan dengan sebaiknya, terutamanya berhubung dengan ganjaran dan faedah- faedah sesuai dengan kelayakan masing-masing," katanya.
Dalam insiden pada pukul 9.32 pagi, 23 April lalu, tujuh kru pesawat HOM AW139 dan tiga lagi anak kapal Fennec terkorban selepas helikopter yang mereka naiki bertembung di udara lalu kedua-duanya terhempas ketika raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
留言