Oleh: Dr Madhi Hasan
ULASAN: Sejak beberapa minggu yang lalu, cerita tentang kewujudan gerakan sulit ala Langkah Sheraton untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan semakin hangat diperkatakan. Perdana Menteri menggelar tokoh-tokoh politik yang mengatur gerakan itu sebagai pengigau-pengigau. Mereka dianggap pengigau kerana apabila seseorang terlalu terdesak, akal rasional tidak dapat membezakan antara khayalan dan realiti.
Berdasarkan dinamik politik hari ini, hakikatnya adalah amat sukar untuk sesiapa pun menjayakan Langkah Sheraton 2.0. Bahana daripada langkah tersebut masih lagi dirasai kerana ia telah menjerumuskan negara ke dalam krisis politik selama hampir tiga tahun.
Berikut adalah lapan sebab kenapa senario politik hari ini amat berbeza dengan situasi politik pada awal tahun 2020 yang memungkinkan berlakunya Langkah Sheraton.
1. Undang-undang Anti Lompat Parti.
Pada tahun 2020, pagar yang menghalang wakil-wakil rakyat daripada melompat dan mengkhianat masih belum didirikan. Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada waktu itu tidak berminat untuk melaksanakan undang-undang tersebut. Ini kerana sebahagian besar daripada Ahli-ahli Parlimen Bersatu pada ketika itu ialah mereka yang melompat daripada UMNO.
Undang-undang anti lompat parti yang berkuatkuasa pada tahun 2022 dibuat supaya politik negara kekal stabil. Mana-mana Ahli Parlimen yang melompat atau yang dipecat dari partinya akan kehilangan kerusi Parlimen yang disandangnya. Undang-undang itu terbukti berkesan, kerana jika tidak sudah pastilah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 15 tempoh hari.
Akhir-akhir ini timbul pula desas-desus tentang 15 orang Ahli Parlimen yang akan meletak jawatan dan kemudian bertanding semula dalam Pilihan Raya Kecil (PRK). Cerita tersebut sangat susah untuk dipercayai kerana kerusi adalah segala-galanya bagi seorang ahli politik.
Tidak ada sesiapa yang akan hilang kewarasan untuk mengorbankan kerusi yang sedang disandang. Setelah mengkhianati partinya sendiri, apa jaminan yang penyandang kerusi tersebut boleh menang atas tiket parti lain? Sekiranya persefahaman elektoral (electoral pact) antara Pakatan Harapan dan BN benar-benar membuahkan hasil, maka tindakan wakil-wakil rakyat tersebut adalah seperti membunuh diri.
2. Tiada lagi musuh dalam selimut
Kekalahan kerajaan Melaka kepada tentera Portugis pada tahun 1511 adalah disebabkan oleh musuh dalam selimut. Salah satu sebab utama bagi kejatuhan sesuatu kerajaan ialah kewujudan kelompok pengkhianat. Perkara yang sama berlaku pada tahun 2020 apabila Azmin Ali dan kumpulannya menjadi musuh dalam selimut di dalam saf kepimpinan PKR.
Dengan menggunakan kuasa dan wang sebagai menteri dan timbalan menteri, kumpulan ini telah membentuk ‘parti dalam parti’ bagi melemahkan KEADILAN. Dr Mahathir telah membantu memperkuat kedudukan politik Azmin Ali bagi mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam partinya sendiri.
Pada masa waktu ini, gunting dalam lipatan itu telah dapat dinyahkan daripada parti dan kesatuan dalam KEADILAN berada pada tahap yang tinggi. Oleh itu, adalah tidak mudah untuk menggoncangkan Kerajaan Perpaduan kerana KEADILAN yang menjadi teras kepada Pakatan Harapan berada dalam keadaan terkawal.
3. Kepimpinan yang jelas
Sewaktu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-7, Pakatan Harapan seolah-olah memiliki dua nakhoda. Sejak dari awal, Dr Mahathir terikat dengan janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim. Sungguhpun demikian, tindak-tanduknya selepas berkuasa menimbulkan keraguan terhadap komitmennya untuk menghormati perjanjian. Kedudukan Anwar Ibrahim menjadi semakin tidak menentu apabila ada elemen-elemen dalam Pakatan Harapan yang kelihatan lebih menyukai Dr Mahathir. Isu peralihan kuasa itu akhirnya mencetuskan Langkah Sheraton.
Dalam Kerajaan Perpaduan hari ini, kedudukan Anwar Ibrahim sebagai satu-satunya pemimpin tertinggi tidak pernah dipertikai. Isu peralihan kuasa atau pengganti tidak timbul, sekurang-kurangnya buat masa sekarang. Tanpa adanya tokoh yang mampu menyaingi Anwar Ibrahim di dalam Kerajaan Perpaduan, krisis kepimpinan yang melatari Langkah Sheraton dapat dielakkan.
4. Faktor “R” yang ketiga
“3R” iaitu Race, Religion dan Royalty adalah tiga senjata utama yang digunakan untuk melemahkan Kerajaan Pakatan Harapan. Dalam beberapa krisis politik sebelum ini, Raja-raja Melayu dilihat lebih condong untuk memberi kelebihan kepada pihak yang mewakili majoriti orang Melayu. UMNO mempunyai hubungan yang rapat dengan Istana dan menjadi pelindung kepada institusi Raja-raja Melayu sejak tahun 1946.
Kerajaan Perpaduan ditubuhkan atas inisiatif Yang Dipertuan Agong bagi mendapatkan sebuah kerajaan yang stabil. Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berusaha kuat untuk menjalinkan hubungan yang mesra dengan kesemua Raja Melayu.
Sultan Johor telah bersuara secara terbuka meminta supaya apa-apa gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan dihentikan. Ini adalah manifestasi kepada pendirian Raja-raja Melayu yang lebih progresif pada masa kini. Dengan adanya sokongan daripada Istana terhadap Perdana Menteri, apa-apa usaha pintu belakang untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan akan menemui jalan buntu.
5. Percaturan politik BN dan GPS
Dalam Langkah Sheraton, BN dan GPS menjadi kingmaker bagi mencukupkan angka untuk menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan. Pada waktu itu, BN dan GPS bagai orang mengantuk disorongkan bantal kerana mereka telah melalui sengsara apabila kehilangan kuasa selama hampir dua tahun.
Pada kali ini, BN dan GPS telahpun mengecapi kuasa sebagai sebahagian daripada kerajaan pusat. Pihak pembangkang yang ingin menumbangkan Kerajaan Perpaduan mestilah menawarkan sesuatu yang lebih menarik daripada apa yang mereka miliki sekarang.
Demi survival masa depannya, UMNO tidak punya banyak pilihan selain daripada bersama Kerajaan Perpaduan. Jika ia bersama PAS dan Bersatu, ia akan berada di tempat nombor tiga di kalangan tiga parti Melayu yang saling bersaing untuk merebut sokongan segmen pengundi yang sama. Dalam jangkamasa panjang, UMNO akan menghadapi masalah untuk menuntut semula posisinya sebagai parti terbesar orang Melayu.
Walaupun ada khabar angin tentang tawaran jawatan Perdana Menteri kepada GPS, perkara tersebut sukar berlaku. Parti-parti Borneo yang bersifat liberal dan sekular akan menempah risiko yang besar jika menyertai kerajaan yang didominasi oleh PAS. Apatah lagi, Fadillah Yusof bukanlah pemimpin tertinggi di dalam partinya sendiri. Krisis dalaman sepertimana yang berlaku ke atas Ismail Sabri pasti berulang jika jawatan Perdana Menteri tidak disandang oleh pemimpin nombor satu dalam parti.
6. Ketiadaan Calon Perdana Menteri
Sesuatu gerakan politik yang besar memerlukan pemimpin yang kuat untuk tampil sebagai pemegang teraju. Dalam Langkah Sheraton, perancang konspirasi tersebut pada mulanya menampilkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri ke-8, tetapi kemudiannya dipintas oleh Muhyiddin Yassin. Kedua-duanya ada kekuatan untuk menjadi Perdana Menteri pada ketika itu.
Siapakah tokoh yang akan ditampilkan sebagai calon Perdana Menteri oleh pihak pembangkang jika Anwar Ibrahim dijatuhkan? Muhyiddin Yassin telah tergolong dalam kluster mahkamah dan rekodnya sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah jauh dari memberangsangkan. Abdul Hadi Awang pula membawa imej dan jalur pemikiran yang sukar diterima oleh masyarakat bukan Islam.
Dr Mahathir kalah teruk dalam PRU-15 pada usia yang sudah menghampiri seratus tahun. Hamzah Zainudin pula adalah seorang operator politik yang diragui kemampuannya untuk menjadi pemimpin nombor satu negara. Ringkasnya, setakat ini pihak pembangkang tidak ada tokoh yang mempunyai kredibiliti yang cukup untuk ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri.
7. “Power of Incumbency”
Seorang Perdana Menteri mempunyai kuasa yang sangat besar. Sekiranya beliau mahu, Dr Mahathir boleh sahaja menghalang kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020 dengan menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri. Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan lemah itu juga mampu menghalang “Projek 16 September” pada tahun 2008 dengan menggunakan kelebihan yang dimilikinya sebagai Perdana Menteri.
Sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim memiliki “power of incumbency” yang membolehkannya untuk menundukkan orang lain dengan mudah. Pihak pembangkang yang ingin menjatuhkannya tidak punyai apa-apa selain janji dan harapan yang dipenuhi ketidakpastian.
Selain itu, populariti dan keyakinan rakyat terhadapnya berada pada tahap yang tinggi berdasarkan kajiselidik-kajiselidik terkini. Melihatkan kepada sambutan ala-superstar yang diterimanya di pelbagai acara, Anwar Ibrahim dapat meyakinkan pendapat umum bahawa rakyat terbanyak berada di belakang beliau.
8. Pembangkang ketandusan isu besar
Pada awal tahun 2020, kerajaan Pakatan Harapan ketika itu berada pada tahap paling tertekan dalam menghadapi serangan isu-isu 3R (Race, Religion & Royalty). Isu bantahan terhadap ICERD, kematian anggota bomba Muhammad Adib, dakwaan kononnya kerajaan menjual aset Tabung Haji dan isu tulisan Jawi di sekolah adalah sebahagian daripada isu-isu yang telah memberi pukulan kepada Pakatan Harapan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil. Kekalahan Bersatu dalam PRK Tanjung Piai menimbulkan perasaan panik dalam parti tersebut tentang survivalnya di masa depan.
Sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan pada hujung November tahun lepas, belum ada apa-apa isu besar yang boleh menimbulkan perasaan bimbang atau kesal di kalangan parti-parti komponen kerajaan. Isu pengeluaran simpanan KWSP dan kenaikan kadar OPR oleh Bank Negara Malaysia hanyalah isu-isu rutin yang dapat ditangani dengan mudah.
Pihak pembangkang pula gagal memainkan peranannya dengan berkesan di peringkat legislatif apabila pemimpin-pemimpin pembangkang seringkali gagal menghadiri sidang Parlimen. Tanpa adanya isu-isu besar, tidak ada alasan yang kukuh untuk kerajaan ditumbangkan atau mana-mana parti komponen menarik balik sokongan terhadap Anwar Ibrahim.
Kesimpulannya, segala desas-desus yang dimainkan oleh pembangkang tentang perubahan kerajaan pada masa ini akan jadi tidak lebih daripada perang saraf dan propaganda. Pemimpin-pemimpin pembangkang akan terus mencuba tetapi mereka pun tahu bahawa kebarangkalian untuk ia berjaya adalah sangat tipis. Namun begitu ia tetap berguna untuk memberikan harapan kepada penyokong-penyokong pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.
Bagaimanapun, perang saraf sebegitu amat tidak wajar dilakukan pada masa sekarang kerana ia akan memberi kesan buruk kepada pemulihan ekonomi negara. Raja dan majoriti rakyat telah penat dan meluat dengan permainan politik yang tidak berkesudahan sejak tiga tahun yang lalu. Ia tambah memualkan apabila isu kaum dan agama seringkali dijadikan modal untuk menghalalkan nafsu serakah dan dendam kesumat ahli-ahli politik.
Kalau benar ada angka yang cukup, bawalah usul Undi Tidak Percaya ke Parlimen yang sentiasa terbuka untuk memuktamadkan persoalan tersebut.
________________________________________________________________________________
Dr Madhi Hasan merupakan Pengerusi Persatuan Pengupayaan Rakyat Negeri Perak dan Felo di Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD), Universiti Selangor
Comments