Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Apabila PMX melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra menjadi penasihat peribadi beliau selaku Pengerusi ASEAN yang `terlompat’ dan mengkritik dengan lantangnya adalah pembangkang.
Pelbagai kritikan dan kecaman yang mereka lontarkan kepada PM Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan betapa ‘sakitnya jiwa’ mereka yang seolah-olah masih lagi tidak boleh menerima hakikat bahawa PMX semakin disanjung tinggi oleh pemimpin-pemimpin antarabangsa.
Hakikatnya sudah dijelaskan bahawa pelantikan Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi adalah untuk membantu PMX atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN sebagaimana diumumkan baru-baru ini.
Thaksin Shinawatra akan berperanan membantu PMX sebagai penasihat peribadi kepada Anwar kerana beliau adalah seorang tokoh ASEAN yang amat berpengalaman.
Manfaatkan pengalaman tokoh Asia Tenggara
Lantikan tersebut adalah melalui instrumen tidak rasmi untuk memanfaatkan pengalaman tokoh-tokoh dari negara-negara Asia Tenggara.
PMX telah mengumumkan pelantikan Thaksin itu pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra yang dalam rangka lawatan ke Malaysia baru-baru ini.
Jesteru, apabila ada pembangkang mengkritik lantikan Thaksin dengan antara lain menyebut, “biasanya pemimpin negara akan melantik pakar diplomatik, bekas menteri luar atau tokoh akademik dalam bidang hubungan antarabangsa sebagai penasihat mereka” - penulis beranggapan mungkin yang mengkritik PMX itu terlalu cemburu serta keliru.
Mereka mengkritik bukan dengan ilmu atau berfakta. Lebih kepada mahu memperlekehkan apa sahaja keputusan PMX yang sedang menerajui Kerajaan Madani.
Dakwa pembangkang lagi, "Sehingga kini, tiada justifikasi jelas daripada Anwar atau pihak kerajaan berhubung peranan spesifik Thaksin sebagai penasihat peribadi".
Dalam hal ini, penulis mahu mengingatkan bahawa pelantikan Thaksin sebagai penasihat Anwar selalu Pengerusi ASEAN adalah hak beliau atas jawatan tersebut.
PMX boleh melantik sesiapa sahaja dan Thaksin dijadikan pilihan berdasarkan beberapa kriteria yang mampu memberi keuntungan kepada negara daripada segi politik dan juga ekonomi.
Ini kerana Thaksin bukan sahaja punyai pengaruh yang besar di Thailand di mana anak perempuannya kini adalah Perdana Menteri negara tersebut, tetapi juga memiliki rakan-rakan berpengaruh di negara ASEAN.
Dengan itu, melantik Thaksin sebagai penasihat mampu memberi kelebihan kepada masa depan negara yang diterajui oleh PMX.
Tidak timbulkan masalah
Sementara itu, seperti yang ditegaskan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, kedudukan Thaksin selaku penasihat juga adalah tidak formal serta tidak mengikat.
Jelas Fahmi lagi, sebarang keputusan berkaitan ASEAN tetap akan diputuskan oleh anggota pertubuhan serantau itu tanpa melibatkan pihak luar.
Justeru itu, tegasnya, keberadaan Thaksin sebagai penasihat tidak rasmi untuk membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tidak akan menimbulkan sebarang masalah.
"Tak ada masalah dari segi keteraturan bagi Pengerusi ASEAN melantik siapa sahaja menjadi penasihat kepada beliau (perdana menteri), ia bukan penasihat kepada ASEAN, kerana untuk menjadi Pengerusi ASEAN adalah sekali setiap 10 tahun. Jadi peluang ini yang cukup penting," katanya lagi.
Fahmi seterusnya berkata, peluang menjadi Pengerusi ASEAN perlu digunakan sepenuhnya termasuk mengambil kira pandangan dan pengalaman pemimpin-pemimpin yang berpengaruh.
"Hasil daripada perbincangan, mereka itu akan menjadi nasihat dan panduan untuk Perdana Menteri. Akhirnya, apa pun keputusan bagi ASEAN akan diputuskan oleh ASEAN itu sendiri bukan oleh mana-mana pihak yang lain," ujar beliau.
Kabinet tidak bantah
Beliau menjelaskan, Kabinet turut tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap keputusan tersebut setelah Perdana Menteri mengemukakan nama-nama tokoh terkemuka termasuk Thaksin.
"Kenyataan rasmi berhubung pelantikan dan peranan penasihat kepada Kepengerusian ASEAN 2025 akan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) atau Kementerian Luar," katanya.
"Mereka (tokoh) bukan orang biasa, (tapi) yang sangat berpengalaman dan faham tentang perkembangan negara-negara ASEAN.
"Jadi saya nampak ini langkah yang betul, dan sejujurnya dalam banyak perkara Perdana Menteri sering mendapatkan pandangan, nasihat terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu.
"Saya berpendapat beliau (Perdana Menteri) berhasrat melakukan perkara yang betul bagi ASEAN dan dia mahu mendapatkan input sebanyak mungkin agar ia juga memberi manfaat kepada masa depan negara," katanya.
________________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comentários