Pelantikan pemimpin dan ketua komuniti sewajarnya dilakukan dengan persetujuan anggota masyarakat, bukan atas lantikan langsung Kerajaan Negeri.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, hal itu perlu ditegaskan oleh Kerajaan dalam usaha memperbaiki struktur pentadbiran di peringkat bawahan.
"KEADILAN Sarawak mengulangi pendirian hak dan kuasa untuk memilih atau melantik ketua masyarakat dan kapitan hendaklah kekal di tangan dan kebijaksanaan masyarakat atau kampung masing-masing.
"Adalah menjadi pendirian kita bahawa sesiapa sahaja yang dipilih sebagai pemimpin atau kapitan oleh anggota masyarakat hendaklah diiktiraf dan diperakui oleh Kerajaan Sarawak dan Persekutuan.
"Kedua, KEADILAN Sarawak menekankan ketua masyarakat harus bersikap neutral politik sepanjang masa. Ini akan membolehkan mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa rasa takut atau pilih kasih," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Roland Engan mencadangkan pemansuhan Ordinan Ketua Masyarakat 2004 yang telah dibatalkan penguatkuasaannya, namun kata beliau boleh dikuatkuasakan semula sekiranya Kerajaan Negeri mahu berbuat demikian.
"Kami menggesa Ordinan Pemimpin Masyarakat dan Ketua Masyarakat 2004 yang telah dibatalkan penguatkuasaannya harus dimansuhkan kerana ia secara sah memberi kuasa kepada kerajaan Sarawak untuk mempunyai kuasa prerogatif penuh ke atas pelantikan, pelanjutan dan pemberhentian pemimpin dan ketua masyarakat," katanya.
Menurutnya, pemansuhan itu penting bagi amalan demokrasi yang meluas dan menghalang perlucutan hak serta kuasa ahli masyarakat untuk memilih pemimpin dan ketua masyarakat mereka.
Katanya, walaupun penguatkuasaan Ordinan Ketua Masyarakat 2004 telah dibatalkan melalui Warta Kerajaan Sarawak Bahagian II Jilid LXXVI No. 7 bertarikh 15/1/2021, pembatalan itu masih boleh ditarik balik pada bila-bila masa selagi tidak dimansuhkan.
Selain itu, kata Roland Engan, pendemokrasian dalam semua sektor termasuk pada pentadbiran akar umbi perlu dilakukan untuk mengekalkan masyarakat yang mesra dan aman di seluruh Sarawak.
"Mengekalkan hak dan kuasa pemilihan pemimpin tempatan di tangan dan kebijaksanaan ahli masyarakat adalah sifat penting masyarakat yang aman.
"Sebaliknya, tugas kerajaan adalah memberi tumpuan dalam mendidik anggota masyarakat melalui sistem pendidikan yang baik dan ia tidak seharusnya mencampuri adat dan urusan pemilihan pemimpin dan ketua masyarakat pilihan mereka," katanya lagi.
Comments