Oleh: Abdullah Zaid
Kebimbangan ekonomi Amerika Syarikat (AS) akan menghadpai kemelesetan berikutan pasaran saham negara itu yang merudum Isnin lalu mewajarkan Malaysia menyertai pakatan ekonomi selain diterajui blok Barat.
Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berpendapat, langah yang diambil Malaysia memohon menyertai kerjasama ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) sebagai tepat memandangkan negara negara yang rapat dengan kuasa ekonomi baharu seperti China mula meningkalkan dolar AS sebagai mata wang transaksi urusniaga antarabangsa yang memungkinkan nilai dolar akan melemah pada masa akan datang.
Katanya, sekiranya prestasi dolar AS tidak menentu maka hal itu akan memberi kesan kepada simpanan rizab negara.
"Ketika ini rizab negara kita adalah AS$113.82 bilion (RM526.282 bilion), bayangkan tiba-tiba dolar AS turun hingga RM2 berbanding sedolar sudah tentu reserve aset kita akan mengecut sekali ganda.
"Jadi tindakan kerajaan menyertai BRICS adalah satu langkah yang baik untuk kita tidak terlalu bergantung dengan dolar," katanya.
Mengulas berkenaan kekukuhan mata wang ringgit berbanding dolar AS sejak minggu lalu, Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak itu berkata, ianya menggambarkan ekonomi Malaysia yang baik.
Bagaimanapun Dr Barjoyai berpendapat, ekonomi juga bergantung kepada kemasukan pelaburan langsung asing, kadar inflasi dan guna tenaga yang pada ketika ini amat positif.
"Kenaikan ringgit ini boleh diumpama sebagai sebuah kereta yang berkilat, sudah tentu orang akan kagum untuk melihatnya tetapi tidak semestinya ia mengambarkan kereta itu hebat.
"Kereta berkenaan perlu dinilai berdasarkan enjin dan bahagian dalam kereta untuk kita tahu sejauh mana hebat kereta tersebut, jadi begitulah juga gambaran bagi ekonomi negara," katanya.
Tambah Dr Barjoyai, pada waktu ini petunjuk ekonomi negara memberansangkan Keluaran Dalam Negara Kasar suku tahun kedua meningkat kepada 5.8% berbanding 4.8% suku tahun pertama.
Begitu juga inflasi yang sekitar 3 - 4% serta kadar pengangguran yang amat rendah.
Kommentare