Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu supaya langkah penggabungan jabatan dan agensi yang merupakan sebahagian daripada proses reformasi perlu disegerakan.
Perdana Menteri berkata program penambaikan atau islah dalam pentadbiran perlu terus ditingkatkan dengan sepanjang bulan ini dijangka pelbagai program reformasi dapat dilakukan dengan lebih pesat.
"Minta langkah reformasi dilaksanakan dengan segera. Penggabungan agensi dan jabatan itu belum berlaku dengan memuaskan, pertindihan perjawatan yang kadang-kadang kurang perlu itu masih belum ditingkatkan.
"Laporan daripada ketua jabatan, ketua pengarah dan ketua unit tentang kelembapan, kecuaian beberapa pegawai itu belum ke tahap memuaskan. Semua ini perlu kita lakukan anjakan sebaiknya," katanya dipetik Metro.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awan Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Perdana Menteri berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk perbaiki prestasi yang dianggap sudah baik.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan selain tumpuan kepada aspek tatakelola dan pertumbuhan ekonomi, kerangka Kerajaan MADANI turut fokus kepada keselesaan rakyat.
Justeru itu jelasnya, langkah reformasi perkhidmatan awam perlu dicapai dengan kaedah atau prosedur yang bersesuaian dengan peredaran zaman.
"Saya selalu anggap bahawa tahap kecepatan, kepantasan lakukan perubahan itu harus setimpal dengan tuntutan zaman dan masa. (Mungkin) ada beberapa peraturan biasa yang dijalankan puluhan tahun, ada yang baik, kita teruskan, tapi ada yang perlu kita ubahsuaikan, tumpuan dan keutamaannya," kata Anwar.
Perdana Menteri seterusnya mengajak warga penjawat awam untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Shamsul Azri, sama seperti yang diberikan kepada bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
"..saya percaya beliau akan bekerja sebagai satu pasukan bersama rakan-rakan penjawat awam, naikkan prestasi kita dan penuhi harapan semua," katanya.
Commentaires