Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksana langkah intervensi bagi menangani kenaikan harga sayuran secara mendadak.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya akan mengadakan kerjasama dan perbincangan dengan kementerian serta agensi berkaitan dalam isu tersebut.
"Masih terlalu awal untuk saya komen tetapi kami memantau sebarang kenaikan harga, pergolakan harga atau isu berkaitan termasuk bekalan makanan.
"Kami juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Sekiranya ada keperluan, kami akan mengambil langkah intervensi," katanya dipetik.
Terdahulu beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid yang menjangkakan harga sayur-sayuran bakal meningkat tiga kali ganda pada November dan Disember depan susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL)
Syed Abd Rahman berkata, ketika ini beberapa jenis sayuran antaranya tomato, daun bawang, kailan, sawi, pak choi, timun, terong dan kacang buncis di peringkat ladang naik 20 hingga 50 peratus.
Peningkatan harga itu jelasnya dipengaruhi fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang berpotensi mengakibatkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan seluruh negara selain keadaan cuaca semasa mengakibatkan penyakit kulat merebak dengan pantas sekaligus menjejaskan pengeluaran hasil sayuran.
Comments