Laluan 30 meter "ground zero" letupan gas ditutup, laksana cerapan teknikal
- Suara Keadilan
- Apr 10
- 2 min read

Laluan sepanjang 30 meter merentasi kawasan "ground zero" letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya telah ditutup bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja cerapan oleh pasukan teknikal bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden tersebut.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata jalan tersebut berkenaan adalah di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
"Ia ditutup untuk mempermudahkan polis untuk melakukan siasatan dan pasukan teknikal melakukan cerapan data-data...untuk mengetahui lebih lanjut insiden dan punca insiden ini berlaku bagi melihat siapa yang wajar bertanggungjawab terhadap masalah ini," kata pada sidang media selepas mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri di Shah Alam semalam.
Sebelum ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengumumkan kawasan seluas 325 meter sebagai lokasi bencana bagi membolehkan agensi penyiasat dan teknikal dapat menjalankan tugas dengan lebih pantas termasuk penggunaan aset dan jentera tambahan.
Pada Selasa lalu, kejadian saluran gas milik Petronas di Putra Heights terbakar hingga mewujudkan letupan dan kebakaran sebelum ia dipadamkan lapan jam kemudian.
Sebanyak 437 kediaman di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong dilaporkan terkesan dengan 81 daripadanya musnah sepenuhnya manakala 81 mengalami kerosakan dan 57 lagi terjejas tetapi strukturnya masih kuat.
Polis Selangor mengesahkan sebanyak 270 buah rumah selamat untuk diduduki semula selepas pembaikan dilakukan manakala Kerajaan Negeri mengesahkan data terbaru penduduk yang terbabit dalam insiden itu ialah sebanyak 469 ketua isi rumah.
Amirudin berkata Jawatankuasa Tetap Pelaburan dan Industri Selangor juga telah bertemu dengan beberapa pemain industri untuk mengetahui keperluan tambahan setelah ia turut terjejas ekoran insiden itu.
"Petronas telah membentangkan beberapa pelan cadangan supaya bekalan gas terutamanya kepada industri dapat dipulihkan dengan sebaik mungkin.
"Ada laporan awal kata menjelang 20 April (bekalan gas pulih), tapi dalam mesyuarat terdapat perbezaan [dari segi] keperluan yang perlu dititikberatkan oleh Petronas demi menjamin kelangsungan penyaluran tenaga...dan memastikan operasi kilang tidak terkesan ekoran insiden ini," ujarnya.
Comentarios