top of page

Lakukan reformasi rangka kerja persaraan, elak warga emas jatuh miskin



Kerajaan perlu melakukan reformasi terhadap rangka kerja pencen dan persaraan bagi memastikan keselamatan kewangan serta ekuiti untuk semua rakyat negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata, hasil tinjauan yang dilakukan baru-baru ini mendapati sebanyak 26.1% responden berumur 60 tahun ke atas akan terus bekerja sehingga mereka menghadapi masalah kesihatan kerana terpaksa membiayai keperluan persaraan.


Beliau berkata, populasi warga emas lebih terdedah kepada kemiskinan berbanding rata-rata penduduk Malaysia yang lain, dengan hanya 29% rakyat Malaysia mempunyai pencen atau pendapatan seperti pencen semasa bersara.


"Data KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) menunjukkan bahawa satu daripada empat ahlinya menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh lima tahun selepas mencapai umur pengeluaran.


"Kemudahan pengeluaran sekali gus manfaat KWSP akan menyebabkan ramai rakyat Malaysia tidak dapat mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa bersara atau menguruskan risiko kelanjutan usia," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2024 (ISWC 2024) di Kuala Lumpur hari ini.


Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, terdapat keperluan untuk melakukan reformasi secara aktif kepada rangka kerja pencen Malaysia bagi memastikan setiap generasi di negara ini dapat menjalani kehidupan usia tua dengan bermaruah.


"Penyelesaian baharu diperlukan dalam memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada perlindungan sosial…


"Memperluaskan perlindungan KWSP secara berfasa, supaya lebih ramai populasi penduduk pada usia bekerja akan menjadi sebahagian daripada ekosistem KWSP yang akan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia boleh mengumpul simpanan persaraan mencukupi, untuk hari tua mereka," katanya.


Perdana Menteri menjelaskan, Malaysia dijangka beralih daripada Negara Menua kepada Negara Tua dengan 14% penduduk berusia 65 tahun ke atas dalam tempoh 23 tahun.


Oleh itu, katanya, Kerajaan Perpaduan komited untuk memperbaiki kehidupan warga emas Malaysia dan membina masyarakat yang lebih inklusif dan adil untuk semua, selaras dengan konsep MADANI dengan "tanpa mengira kaum, agama, umur, tempat tinggal dan pegangan politik".


Jelasnya bagi meningkatkan tahap ekonomi, kerajaan komited untuk memperluaskan payung perlindungan sosial meliputi semua golongan dan menjaga rakyat daripada sebarang perkara yang tidak diduga.


"Sehubungan itu, kerajaan bercadang untuk memperkukuh dua tonggak perlindungan sosial. Untuk bantuan sosial, kerajaan akan memperkasakan lagi program bantuan sosial bagi memberi sokongan dan jaringan keselamatan kepada rakyat Malaysia yang menghadapi masalah kewangan.


"Bagi merangsang pasaran buruh, kerajaan akan terus memperkukuh inisiatif latihan, bantuan pengangguran dan program lain, untuk mendapatkan rakyat Malaysia pekerjaan yang akan meningkatkan taraf hidup mereka," katanya lagi.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page