Kerajaan akan memastikan aktiviti jenayah dan penipuan dalam talian dapat dikekang selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu budaya fitnah dalam media sosial dibendung bagi mengelak perpecahan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tindakan tersebut diyakini dapat dilaksanakan melalui penguatkuasaan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 (Akta 588) yang baru diluluskan Parlimen pada hujung tahun lalu.
"Tuanku juga bertitah untuk rakyat sentiasa berhati-hati tentang jenayah penipuan yang berleluasa," katanya dipetik selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 semalam.
Fahmi berkata kementerian akan bekerja lebih pantas dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu tersebut.
Dalam pada itu jelas beliau pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia itu memberikan beberapa kuasa dan undang-undang baharu untuk dilaksanakan bagi mengekang aktiviti jenayah dalam talian itu.
Pindaan tersebut antara lain untuk menangani kemudaratan dalam talian, terutamanya media sosial dengan menambah baik peruntukan sedia ada, termasuk Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta 588 selain memperkenalkan peruntukan baharu.
Terdahulu Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada istiadat pembukaan Parlimen itu mahu kerajaan bertindak tegas dalam mengekang budaya fitnah dan hasutan dalam talian dan media sosial yang boleh menyebabkan perpecahan.
Baginda mengingatkan masyarakat agar sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dalam talian atau scammer dan pencurian identiti.
Comments