Angkatan Muda Harapan (AMH) menyokong titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang tidak mahu insiden buli di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baru baru ini berulang dan mencemar imej institusi pendidikan negara.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan (AMH), Ammar Atan berkata, sudah tiba masanya pihak kerajaan melaksanakan pendekatan komprehensif dan tegas ke atas pelaku jenayah buli.
"Dalam menangani budaya buli kajian semula dasar sedia ada perlu dilakukan di samping penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas.
"Penglibatan badan bukan kerajaan dan persatuan ibu bapa juga perlu dibabitkan kerana institusi keluarga harus diperkasakan untuk asas pembentukan moral anak-anak yang lebih baik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebagai langkah tambahan, AMH turut menggesa kerajaan untuk memperketat kawalan bahan media atau hiburan berunsur keganasan yang kini menjadi kebimbangan para ibu bapa seluruh negara.
Hal itu, katanya, berpotensi menjadikan generasi muda kurang sensitif sekaligus menormalisasikan tindakan agresif, dan menyukarkan mereka membezakan antara fiksyen dan realiti.
"Anak muda pada waktu ini sering terpengaruh secara tidak sedar apabila banyak menonton tanyangan-tanyangan ganas tersebut.
"Kajian mendapati kanak-kanak cenderung meniru tingkah laku agresif, terutama apabila pelaku digambarkan sebagai "hero" dan keganasan dipersembahkan tanpa akibat (hukuman) yang akhirnya menyumbang kepada normalisasi budaya agresif dan berisiko berkembang menjadi tingkah laku buli di institusi pendidikan.
"Jika tidak ditangani budaya buli adalah cerminan kegagalan kita sebagai masyarakat untuk membentuk generasi yang bertanggungjawab, empati, dan bermoral tinggi," katanya lagi.
Justeru, kata Ammar, AMH berdiri teguh menyokong usaha semua pihak untuk membanteras budaya buli dalam kalangan pelajar dan memastikan institusi pendidikan di semua peringkat menjadi tempat yang selamat untuk membentuk masa depan negara.
Комментарии