Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Satu lagi cerita kejayaan yang membanggakan negara hasil kegigihan PMX menerajui Kerajaan Madani.
Setelah pelbagai pelaburan asing berjumlah puluhan bilion berjaya dibawa masuk sebelum ini, khususnya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan rasmi ke luar negara, kali ini satu lagi kejayaan membanggakan terbentang di depan mata.
Hal itu berikutan gergasi perisian Microsoft, mengumumkan pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) di negara ini dalam tempoh empat tahun akan datang.
Pelaburan amat membanggakan
Jumlah pelaburan itu diumumkan ketika kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi syarikat tersebut dengan Perdana Menteri di Putrajaya.
"Satya memaklumkan bahawa gergasi teknologi Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun mendatang," kata Anwar dalam kenyataan di media sosialnya kemarin.
Anwar turut memaparkan dan berkongsi gambar pertemuan beliau dengan Satya.
Satu perkongsian yang amat membanggakan dan pastinya rezeki hasil daripada pelaburan tersebut bakal melimpah serta dinikmati oleh setiap rakyat negara ini.
Sambut baik pelaburan
Menjelaskan lagi mengenai berita baik itu, Anwar berkata, pelaburan tersebut meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (clouds), Kecerdasan Buatan (AI) serta mewujudkan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang.
PM berkata, jumlah itu adalah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft sejak bertapak selama 32 tahun di Malaysia.
"Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan ini yang membuktikan keyakinan mereka kepada asas ekonomi negara yang kukuh, dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik.
"Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara," jelas PMX lagi.
Dengan satu demi satu pelaburan masuk ke dalam negara, ia bukan saja petanda keyakinan syarikat-syarikat gergasi dunia terhadap Malaysia malah memperlihatkan jalan semakin cerah untuk masa hadapan negara ini.
Rakyat Malaysia amat bertuah kerana memiliki seorang Perdana Menteri yang sentiasa bekerja keras untuk memastikan negara terus sejahtera, makmur serta harmoni.
_______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comentários