
Oleh: Akmal Manaf
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyangkal tuduhan sesetengah pihak bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian hasil penjualan Saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Beliau menjelaskan, saham MAHB yang dijual pada harga antara RM6.80 dan RM7.70 seunit telah menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023.
"Tuduhan KWSP mengalami kerugian daripada penjualan ini adalah tidak berasas... dan ini jelas ditolak oleh KWSP melalui kenyataan akhbar pada 12 Februari lepas.
"Berdasarkan kenyataan ini juga, jelas bahawa KWSP mencatat keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan merekodkan jumlah pendapatan pelaburan RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.
"Ia berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi simpanan konvensional dan 5.40 peratus bagi simpanan shariah," katanya ketika Sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Chong Zhemin (PH-Kampar) tentang jumlah keuntungan atau kerugian dialami KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB.
Dalam perkembangan sama, Amir memaklumkan, pengisytiharan dividen KWSP adalah mengikut prestasi sebenar pelaburan yang dibuat agensi itu, berdasarkan Seksyen 27 Akta KWSP 1991 (Akta 452).
Dalam erti kata lain, jelasnya kadar dividen hanya berdasarkan pendapatan yang direalisasikan menerusi penjualan sesuatu pelaburan bagi tahun berkenaan.
"Pada 2023, prestasi saham MAHB mengatasi prestasi FBMKLCI sebanyak 11.47 peratus.
"Ia sekali gus menyediakan peluang bagi KWSP merekodkan keuntungan daripada penjualan pegangan sahamnya dalam MAHB," jelas beliau.
Comments