
Oleh: Akmal Manaf
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terus menjadi sasaran kecaman apabila kenyataannya bahawa duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah hilang dan rugi dalam transaksi saham Malaysia Airports (MAHB) disangkal Angkatan Muda Harapan.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan berkata, kenyataan oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam itu tidak bersandarkan fakta dan mungkin melibatkan agenda tersembunyi.
Katanya, amat pelik apabila melihat MCA yang merupakan pemegang saham terbesar Star Media Group Bhd dan Matang Bhd tidak memahami asas pelaburan, meskipun kedua-dua syarikat itu tersenarai di Bursa Malaysia.
''KWSP telah menjadi pemegang saham MAHB sejak ia disenaraikan pada harga RM2.50 sesaham di Bursa pada 30 November 1999.
''Sejak itu, KWSP telah menjual dan membeli kembali saham MAHB untuk menjana 'trading profit'.
''Ini adalah kebiasaan dalam pelaburan saham dan strategi ini diguna pakai oleh pelabur institusi yang lain juga,'' katanya dalam satu kenyataan.
Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda Harapan berkata, berdasarkan data yang digunakan MCA, KWSP telah menjual RM163.4 juta saham MAHB pada 2023 pada harga antara RM5.40 dan RM7.36.
''Apa yang tidak diceritakan adalah keuntungan yang telah dijana oleh KWSP.
''Ada dua jenis keuntungan yang telah dijana oleh KWSP melalui MAHB, iaitu pertama peningkatan harga saham atau 'capital appreciation' dan kedua adalah dividen sejak 1999.
''Data Bloomberg menunjukkan jumlah pulangan atau 'total return' KWSP adalah antara 238% (jika saham dijual pada RM5.40) dan 361% (jika dijual pada RM7.36), jika dividen dilaburkan semula.
''Dalam bahasa mudahnya, segala kos pelaburan KWSP dalam MAHB telah diraih balik, termasuk melalui dividen,'' jelas beliau.

Dalam kenyataan sama ujarnya, pihak MCA semestinya memahami tentang dividen memandangkan mereka penerima manfaat terbesar menerusi dividen lumayan daripada Star Media Group Bhd.
Oleh itu katanya, tidak timbul soal KWSP rugi dalam MAHB setakat ini.
''Bagaimana pula pembelian saham MAHB oleh KWSP pada harga RM11 sesaham baru-baru ini selaras dengan penswastaan syarikat tersebut?
''Sekali lagi, tidak timbul soal kerugian selagi mana saham itu belum dijual,'' katanya lagi.
Naib Ketua Pemuda AMANAH menjelaskan lagi, penswastaan MAHB dilakukan untuk menambah nilai atau 'value creation' menerusi penambahbaikkan operasi dan kewangan.
Selepas satu tempoh tertentu katanya, MAHB dijangka akan disenarai balik di pasaran saham, di mana konsortium GDA yang dianggotai oleh Khazanah Nasional, KWSP, Global Infrastructure Partners dan Abu Dhabi Investment Authority boleh menjual pegangan mereka pada harga dan penilaian (valuation) yang lebih tinggi.
''Dengan berlakunya pemulihan nilai MAHB selaras dengan penambaikkan operasi dan kewangan,'valuation' MAHB juga akan meningkat dan ini membolehkan KWSP menjual sahamnya pada kadar yang lebih tinggi.
''Mengenai persoalan mengapa KWSP menjual sahamnya pada tahun 2023 dan membelinya kembali untuk melaksanakan penswastaan MAHB, KWSP menetapkan 'sempadan' yang ketat antara dua pasukan dalamannya.
''Sekali lagi, Pemuda AMANAH menawarkan kelas 'Finance 101' percuma kepada pengkritik tegar MAHB, Wan Ahmad Fayhsal (Ahli Parlimen Machang) dan tawaran ini dibuka juga untuk YB Wee Ka Siong.
''Pihak pengurusan KWSP disaran mengambil tindakan undang-undang terhadap Wee Ka Siong dan KWSP tidak seharusnya berdiam diri tatkala fitnah dan pembohongan disebarkan,'' katanya.
Comments