
Rakyat Malaysia diibaratkan berada di atas "lombong emas" apabila melakukan caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ekoran pulangannya jauh mengatasi Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) Singapura, kata seorang pakar kewangan dari republik itu.
Loo Cheng Chuan berkata KWSP telah berjaya mencatatkan pulangan yang lebih tinggi hingga mencecah 6 peratus berbanding CPF hanya mencapai 4 peratus.
"Sepanjang 10 hingga 20 tahun yang lalu, kadar pulangan KWSP adalah melebihi 5 peratus, malah kadang-kadang mencecah 6 peratus.
"Di Singapura, orang ramai iri hati dengan kadar pulangan sebegini," katanya dalam satu episod podcast Do More – Take Charge of Your Life, dipetik dari laporan New Straits Times semalam.
Pada Sabtu lalu, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.3%bagi kedua-dua skim simpanan konvensional dan syariah, menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu dengan jumlah pembayaran RM73.24 bilion.
Dividen KWSP semakin meningkat sejak tiga tahun lalu dengan akaun konvensional, mencatat kadar 5.35% (2022) dan 5.5% (2023) manakala akaun syariah 4.75% (2022) dan 5.4% (2023).
Loo yang mengasaskan gerakan 1M65 di Singapura untuk membantu orang ramai menyimpan SGD$1 juta menjelang usia 65 tahun, menekankan perbezaan ketara antara KWSP dan CPF, dengan menyatakan bahawa Akaun Biasa CPF hanya menawarkan pulangan 2.5 peratus setahun.
"Itu hampir tidak mencukupi untuk mengatasi inflasi," katanya.
Walaupun Akaun Khas dan Akaun Medisave CPF memberikan pulangan 4 peratus, penggunaannya lebih terhad, katanya.
"Banyak rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa mereka sebenarnya memiliki lombong emas besar yang dipanggil KWSP.
"Ramai yang memandang rendah potensi KWSP sebagai enjin pembinaan kekayaan," katanya.
Comments