Pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh di Iran dikutuk keras oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia itu berkata, pembunuhan yang dikaitkan dengan Israel tersebut boleh menimbulkan ketegangan dan konflik yang lebih besar di Asia Barat.
"Pembunuhan yang berlaku di Tehran, jika dilakukan oleh Israel, adalah secara terang-terangan mengabaikan undang-undang antarabangsa dan prinsip kedaulatan.
"Tindakan sedemikian bukan sahaja meningkatkan ketegangan serantau tetapi juga melanggar norma pematuhan dan perlindungan hak asasi manusia
"Penggunaan langkah-langkah di luar undang-undang untuk menyasarkan individu, tanpa mengira aliran politik menetapkan duluan berbahaya dan menjejaskan usaha ke arah keamanan serta kestabilan di rantau berkenaan," katanya dalam kenyataan.
Menurut Chean Chung, dunia telah mengekalkan keamanan dan kemakmuran selama beberapa dekad lalu berdasarkan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, diplomasi pelbagai hala dan menghormati kedaulatan negara-bangsa.
Tegasnya, percubaan untuk melanggar prinsip-prinsip tersebut pastinya akan meningkatkan risiko global untuk konflik dan peperangan selanjutnya.
"Saya menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membuat pendirian tegas mengecam tindakan luar undang-undang ini dan membantu dalam penyiasatan supaya ia dapat disimpulkan dengan cepat dan terbuka," katanya lagi.
Terkini dalam kenyataan Hamas dipetik Reuters, bekas Perdana Menteri Palestin itu dikatakan terbunuh akibat serbuan Zionis terhadap kediamannya di Tehran, ibu negara Iran.
Manakala, agensi berita Iran melaporkan tentera Pengawal Revolusi Iran mengesahkan Ismail terbunuh bersama beberapa orang pengawalnya.
Comentários