KUSKOP perkenal inisiatif sesuai keperluan usahawan Sabah, Sarawak
- Suara Keadilan
- 11 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI memperkenalkan pelbagai inisiatif bersesuaian bagi membantu pembangunan keusahawanan untuk Sabah dan Sarawak.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif terbabit termasuk dalam fokus tambahan kementerian untuk memperkasakan pembangunan keusahawanan di dua negeri itu.
"KUSKOP akan terus menyokong lebih lebih 53,000 usahawan di Sabah melalui geran pembiayaan dan pembangunannya.
"Kita perkenalkan inisiatif bersesuaian dengan Sabah seperti projek premis tamu desa, skim geran usahawan bumiputera Sabah Sarawak, skim pembiayaan usahawan tamu, skim latihan keusahawanan untuk Sabah Sarawak termasuk program usahawan KUSKOP, ini antara yang terkait dalam fokus tambahan bagi Sabah dan Sarawak.
"Sebab itu saya turun ke lapangan bagi meninjau sendiri keperluan wajar untuk pembangunan keusahawanan di Sabah dan Sarawak," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya hadir ke majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri 2025 UPKO Malaysia di Sandakan pada Sabtu.
Sementara itu Ewon turut menyatakan komitmen agensi di bawah kementerian itu untuk terus berusaha menambah perkhidmatan untuk rakyat di kawasan luar bandar
"Ia termasuk Bank Rakyat yang memperluas perkhidmatan bank bergerak di pekan-pekan kecil di Sabah yang selama ini tidak memiliki perkhidmatan perbankan," jelasnya.
Sebelumnya beliau memaklumkan RM813 juta diperuntukkan tahun lalu untuk membantu usahawan kecil dan mikro.
Bagi tahun ini, peruntukan jelasnya mungkin meningkat bergantung kepada permohonan daripada golongan sasar untuk dana pusingan.
Comments