Jawatankuasa Penduduk Majlis Perbandaran Ampang Jaya Zon 7 telah menganjurkan Kursus Percuma Bantuan Awal Kecemasan Bagi Suri Rumah bertujuan mengatasi masalah panik ketika berlaku kecemasan terutamanya di kediaman.
Kursus yang diadakan pada 23 November lalu itu, dijalankan dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang dan St John Ambulance Malaysia menyaksikan penyertaan 31 suri rumah.
Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 7, Mohd Shahffeq Eqhwan Shahrom berkata, kursus itu antara lain memberikan pendedahan tentang tindakan awal yang boleh dilakukan golongan suri rumah apabila berlaku kemalangan khususnya ketika di rumah dan di luar secara amnya.
''Selain itu, mereka diberi pendedahan mengenai ubat dan alatan dalam peti kecemasan serta cara untuk digunakan ketika perlu.
''Alhamdulillah kita menerima maklum balas yang baik daripada peserta dan ada suami kepada peserta yang menyokong penyertaan isteri dengan menghantar ke kursus tersebut,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Opmerkingen