Oleh: Akmal Manaf
Kunjungan dua kapal latihan angkatan laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) bersama pelajar Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang pada 5 Oktober lalu tidak wajar dijadikan alat politik sempit demi kepentingan sesetengah pihak.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan menegaskan, sebarang usaha untuk mempolitikkan isu itu hanya akan merosakkan keharmonian diplomatik dan menjejaskan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa.
Beliau berkata, cubaan mengherotkan tujuan lawatan seperti itu menggambarkan kurangnya tahap pemahaman terhadap amalan hubungan diplomatik dua hala.
"Mempolitikkan isu berkenaan tidak memberi faedah kepada negara dan rakyat.
"Malah ia mencetuskan persepsi yang salah terhadap dasar luar negara kita yang berkecuali serta bersahabat dengan semua pihak.
"Saya juga ingin mengingatkan laskar siber (cytro) pembangkang bahawa mereka perlu membezakan antara misi ketenteraan dan misi diplomatik.
"Kehadiran kapal tentera asing (misi diplomatik) di perairan Malaysia adalah amalan biasa terutama dalam kerjasama pertahanan yang lazim," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu kehadiran dua kapal dari China yang sedang dimainkan laskar siber pembangkang.
Jelas beliau lagi, lawatan dua kapal dari China itu tidak mengancam kedaulatan negara, malah mengukuhkan hubungan strategi pertahanan dengan negara-negara sahabat.
Kata Fadzli, Malaysia juga pernah menghantar kapal tentera ke luar negara bagi tujuan diplomatik, bantuan kemanusiaan, latihan bersama serta operasi keamanan.
"Malaysia adalah sebuah negara berkecuali yang mengamalkan dasar luar bebas, tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar, serta sentiasa menjaga kepentingan kedaulatan dan keselamatan negara.
"Jadi kehadiran kapal tentera dari mana-mana negara, termasuk China tidak wajar dipolitikkan.
"Kita negara maritim yang strategik, sering menerima kunjungan kapal tentara dari pelbagai negara, termasuk kuasa Barat untuk tujuan diplomatik, latihan bersama dan kerjasama ketenteraan yang konstruktif," katanya lagi.
Justeru Fadzli mengingatkan penyokong pembangkang agar menilai sesuatu hal berdasarkan kepentingan negara, khususnya dari aspek hubungan luar yang baik tanpa mengira blok atau ideologi.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilapor mengumumkan kedatangan 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu menaiki dua kapal untuk kunjungan silaturahim.
Pasukan tugas ke-83 PLA dan pelatihnya dibawa melawat beberapa tempat menarik di negeri itu dan turut berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan berkenaan.
Namun, ia mendapat kiritikan di media sosial susulan kunjungan mereka ke satu majlis di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian).
Bình luận