Kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke negara ini, khususnya melawat Kementerian Pendidikan Malaysia diharap bakal membuka lembaran baharu kepada sektor pendidikan di negara konservatif itu.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata, amat diharapkan delegasi Afghanistan yang melihat kemajuan wanita Malaysia berpendidikan tinggi akan menilai semula dasar pendidikan kurang produktif terhadap wanita di negara Asia Tengah itu.
"Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat (BPPM) Parti Amanah Negara memandang positif lawatan ini yang dirintis oleh Kerajaan Taliban Afghanistan.
"Secara tradisi Taliban sering dikaitkan dengan pendekatan dasar tertutup yang mengenakan pelbagai sekatan, khususnya terhadap penglibatan wanita dalam aspek sosio-ekonomi termasuk pendidikan.
"Kunjungan delegasi ini menunjukkan tanda keterbukaan untuk mempelajari kemajuan yang telah dicapai oleh Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang melaksanakan dasar pendidikan bersifat inklusif dan progresif, tetapi tetap menitikberatkan aspek akidah serta karamah insaniah dalam setiap tahap pendidikan," katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Azli berharap rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan dalam usaha mereka meyakinkan delegasi Afghanistan untuk mencontohi model pendidikan Malaysia.
Khusus, katanya, dalam usaha mengangkat martabat wanita dan memberi hak pendidikan yang saksama kepada semua lapisan masyarakat.
"Oleh itu, BPPM menggesa semua pihak supaya tidak berprasangka buruk terhadap lawatan ini, sebaliknya memahami niat murni kerajaan dalam membimbing mana-mana negara dunia ketiga, termasuk Afghanistan, yang ingin meneladani kejayaan dan kemajuan yang telah dicapai oleh Malaysia," katanya lagi.
Terdahulu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng mempersoalkan kunjungan delegasi Afghanistan yang mengunjungi Kementerian Pendidikan baru baru ini kerana ideologi politik garis keras kumpulan pemerintah di negara berkenaan sejak mereka menggulingkan kerajaan sah dan penasihat barat pada 15 Ogos 2021 lalu.
Comments