![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_5837c92466be4075a299404a17e7342e~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_465,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_5837c92466be4075a299404a17e7342e~mv2.jpg)
Gerakan dakwah perlu dilakukan sepanjang masa dan dengan pelbagai cara termasuk dengan menganjurkan jamuan Tahun Baharu Cina.
Hal itu dilakukan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) baru baru ini yang menganjurkan Jamuan Muhibah YADIM Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di bandaraya Melaka.
Menurut satu kenyataan, program berkenaan merupakan kali kelima diadakan dan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.
Dr Zulikfli dalam ucapan perasmian berkata, program berkenaan amat baik untuk mempromosikan keharmonian kaum dan memperlihatkan toleransi agama Islam terhadap bukan Islam.
"Dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini Tahun Baharu Cina merupakan satu sambutan yang boleh diraikan bersama bagi mempromosi keharmonian dan kebudayaan bersama," katanya.
![Dr Zulkifli dan pegawai YADIM serta NGO memberi sumbangan kepada keluarga memerlukan](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_a195fdf2a29a4db4ae6ca11fd529c6da~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_465,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_a195fdf2a29a4db4ae6ca11fd529c6da~mv2.jpg)
Jamuan tersebut dijayakan dengan kerjasama Gabungan Dakwah Malaysia Melaka dan Persatuan Cina Muslim Malaysia Melaka dan dihadiri 250 tetamu bersama ahli keluarga, sama ada Islam dan bukan Islam serta rakan-rakan badan bukan kerajaan.
Hadir sama ke majlis tersebut Mufti Kerajaan Negeri Melaka, S.S Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil, Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, Bendahari Gabungan Dakwah Malaysia Melaka, Rosli Adam, Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia Melaka, Nur Caren Chung, Pengarah YADIM Negeri Sembilan dan Melaka, Ustaz Abdul Halim Ismail, Pengarah YADIM Negeri Johor, Ustaz Muhamad Ammar Abdullah serta kakitangan YADIM.
Sementara itu, majlis tersebut juga menyaksikan penyerahan sumbangan Bakul Madani kepada 100 penerima dari kalangan yang memerlukan untuk meringankan beban mereka.
Comments