Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor merupakan tiga negeri yang menerima capaian liputan 5G tertinggi mencecah hampir 100 peratus pada Ketika ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata secara purata capaian liputan 5G di kawasan berpenduduk di Malaysia kini mencapai tahap 81.7% setelah siapnya sebanyak 7,114 tapak bagi sistem itu di seluruh negara setakat ini.
"Di Kuala Lumpur peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk pada tahap (97.7%), Putrajaya (97.3%), Selangor (96.1%), Johor (83.1%), Melaka (88.6%), Negeri Sembilan (77.5%), Pulau Pinang (91.1%) dan Perak (79.8%)," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) yang ingin tahu perancangan kerajaan untuk membina lebih banyak pencawang bagi tujuan meningkatkan kadar capaian Internet berkelajuan tinggi (5G) di kawasan pedalaman dengan lebih menyeluruh.
Nie Ching berkata, kadar liputan 5G di kawasan berpenduduk di Kedah pula berada pada tahap 80.1 peratus, Perlis (91.4%), Pahang (65.5%), Terengganu (72.7%), Kelantan (66.4%), Sabah (68.6%), Labuan (94.4%) dan Sarawak (62%).
Beliau berkata ketika ini pembinaan rangkaian 5G tertumpu di kawasan bandar yang mempunyai aktiviti ekonomi yang tinggi manakala perluasan sistem itu ke kawasan lain termasuk di luar bandar diteruskan dari semasa ke semasa.
Kepada soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai saluran aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), beliau berkata orang ramai boleh membuat aduan menerusi talian WhatsApp 016 2206 262.
"Aduan juga boleh dibuat menerusi laman web https://www.mcmc.gov.my/ atau kaunter aduan MCMC di Bangunan Parlimen yang membolehkan ahli Parlimen membuat aduan sekiranya terdapat masalah liputan Internet di kawasan masing-masing," ujarnya.
Comentarii