Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyusun semula jadual tren komuter antara Pelabuhan Klang dan KL Sentral mulai 20 Januari ini bagi meningkatkan kekerapan operasi dengan mengimbangi kerja-kerja projek Landasan Berkembar Elektrik Fasa Dua (KVDT2) yang sedang berjalan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu bagi menambaik masa menunggu untuk pengguna dengan kekerapan dikurangkan kepada 30 minit menggunakan kombinasi tren, bas dan van berbanding sebelum ini selama satu jam.
"Bagi mengimbangi kerja-kerja KVDT2 dan juga menambah baik masa menunggu untuk pengguna di laluan KTM Komuter Pelabuhan Klang - KL Sentral, KTM akan menyusun semula aset dan jadual agar kekerapan boleh dikurangkan kepada 30 minit menggunakan kombinasi tren, bas dan van.
"Untuk arah Pelabuhan Klang ke KL Sentral, tren akan beroperasi pada kekerapan 30 minit pada waktu puncak pagi dan waktu lain akan digantikan dengan bas pada kekerapan 30 minit," katanya pada sidang akhbar mengumumkan penjadualan semula operasi tren KTMB bagi laluan tersebut di Kuala Lumpur hari ini.
Loke berkata berdasarkan statistik taburan penumpang, berdasarkan sistem aplikasi Sistem Tiket Bersepadu KTMB (KITS), jumlah penumpang didapati tinggi pada waktu pagi menuju ke Kuala lumpur manakala jumlah penumpang paling tinggi dari KL Sentral menuju kembali ke Pelabuhan Klang adalah pada waktu petang.
"Penjadualan berdasarkan data ini memastikan aset tren KTMB boleh ditumpukan kepada waktu di mana terdapat jumlah penumpang yang tinggi manakala bas boleh memberi perkhidmatan pada waktu di mana jumlah penumpang adalah lebih rendah.
"Selain mengurangkan masa menunggu dari 60 minit kepada 30 minit untuk pengguna, penjadualan bersepadu ini turut akan mengurangkan masa perjalanan keseluruhan tren antara Pelabuhan Klang dan KL Sentral sehingga 15 minit," ujarnya.
Pada masa sama, jelas beliau kerja-kerja KVDT2 juga boleh dilaksanakan dengan lebih lancar pada waktu tren tidak beroperasi.
Loke berkata melalui penyusunan semula jadual operasi tren itu, perkhidmatan bas akan bermula awal, iaitu pada pada 17 Januari 2025, agar pengguna mempunyai masa untuk menyesuaikan diri.
"Sebanyak 22 unit bas perantara PERCUMA akan disediakan bagi tempoh pelaksanaan projek KVDT2 iaitu membabitkan laluan Subang Jaya – Batu Tiga – Shah Alam – Padang Jawa - Subang Jaya, Subang Jaya – Bukit Badak (pergi balik), Subang Jaya – Klang (pergi balik), Subang Jaya – Teluk Gadong (pergi balik), Subang Jaya – Pelabuhan Klang (pergi balik)," katanya.
"Kekerapan setiap bas adalah 30 minit bergantung kepada keadaan trafik. Waktu ketibaan bas akan dipaparkan di stesen-stesen KTM berkenaan untuk memudahkan perjalanan penumpang."
Dalam pada itu katanya, bagi laluan dari stesen KTM Abdullah Hukum hingga Subang Jaya, pengguna boleh menggunakan perkhidmatan bas sedia ada dan juga laluan LRT Kelana Jaya.
"Kementerian Pengangkutan dan KTM mengalu-alukan sebarang maklum balas berkenaan inisiatif ini agar penambahbaikan berterusan boleh dilaksanakan," katanya.
Terdahulu Loke berkata projek KVDT2 merupakan inisiatif Kementerian Pengangkutan bagi menaik taraf infrastruktur (seperti sistem persemboyanan) dan landasan yang telah berusia lebih dari 25 tahun.
"Ia adalah penting bagi meningkatkan kecekapan dan menjamin keselamatan pengoperasian tren jangka panjang," katanya lagi.
Projek KVDT2 telah dimulakan dengan kerja-kerja menaik taraf bagi laluan Simpang Pelabuhan Klang – Seremban pada Mei 2023 dan projek ini masih berjalan dan dijangka siap pada Oktober 2028.
Laluan bagi Simpang Pelabuhan Klang iaitu dari Abdullah Hukum ke Pelabuhan Klang telah bermula sejak April 2024 dan dijangka siap pada Oktober 2028.
Comments