Kritikan dan serangan terhadap Perdana Menteri kononnya kurang memberi tumpuan kepada komuniti India tidak membantu menyelesaikan isu 'kekurangan' peruntukan untuk kaum berkenaan.
Menurut Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George, kerajaan bukan sahaja telah memberi bantuan melalui skim MITRA dan TEKUN kepada masyarakat India sebagaimana didakwa, tetapi mempunyai pelbagai instrumen lain dalam memberi bantuan melalui pelbagai kementerian.
Hal itu katanya, perlu dihujahkan dengan berfakta seandainya pihak pengkritik mahukan peruntukan yang lebih baik bagi membela masyarakat India.
"Pengkritik yang mendakwa komuniti India hanya mendapat sokongan daripada MITRA dan TEKUN sama ada tidak mendapat maklumat yang tepat atau sengaja mengabaikan kebenaran.
"Kerajaan mempunyai pelbagai program dan sumber yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia, termasuk orang India, dalam sektor seperti pendidikan, perniagaan, kesihatan, perumahan dan kebajikan.
"Kita perlu belajar bagaimana untuk menyertai sistem tersebut. Itulah jalan ke hadapan, tetapi pengkritik ini hanya memberi tumpuan kepada satu bahagian daripada belanjawan sambil mengabaikan gambaran yang lebih besar.
"Ada individu yang melampaui kritikan dan melancarkan serangan peribadi terhadap Perdana Menteri dan kerajaan. Sikap sebegini bukan sahaja tidak menghormati tetapi juga tidak berkesan.
"Jika matlamatnya adalah untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan untuk komuniti India, bagaimana serangan terhadap mereka yang berkuasa boleh membantu?" katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Dr Gunaraj, kerajaan telah menunjukkan komitmennya terhadap komuniti India melalui sokongan berterusan dalam setiap kali belanjawan. Sama ada mencukupi atau mungkin tidak, katanya, sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan. Tetapi pendekatan yang agresif dan kurang beradab tidak akan mencapai apa-apa tujuan.
Katanya, banyak kenyataan dan video di media sosial pada waktu ini yang mengkritik Kerajaan Madani lebih kepada sensasi daripada substansi. Maklumat yang mengelirukan disebarkan, mewujudkan ketakutan dan kemarahan yang tidak perlu dalam komuniti.
"Cara yang betul untuk memperjuangkan komuniti adalah dengan memberikan kritikan yang wajar dan membina serta bekerjasama dengan kerajaan, bukan menentangnya. Kerajaan Madani komited untuk membantu setiap rakyat Malaysia, termasuk komuniti India.
"Kita memerlukan penyelesaian. Mereka yang benar-benar ingin mendapatkan lebih banyak sokongan perlu berhenti memberi tumpuan kepada apa yang mereka anggap salah dan perlu memberikan idea yang membina.
"Kerajaan bersedia mendengar dan menyesuaikan diri apabila cadangan yang munasabah dikemukakan, tetapi ini memerlukan para pengkritik untuk mengambil pendekatan yang bijaksana dan hormat," katanya lagi.
Sehubungan itu, Dr Gunaraj yang juga Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional berpesan bahawa pendekatan Kerajaan Madani adalah untuk menyediakan bantuan berdasarkan keperluan, bukan berdasarkan kaum.
Strategi itu, katanya, memastikan sumber disalurkan kepada pihak yang paling diperlukan dan merentasi semua komuniti.
Comments