Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang menangani isu kekurangan jururawat termasuk menamatkan pelaksanaan moratorium (penangguhan) di peringkat latihan kejururawatan swasta.
Timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud berkata moratorium itu dilaksanakan beberapa tahun setelah didapati berlaku lambakan bilangan jururawat namun kini terdapat kekurangan bagi perjawatan jururawat.
"KPT bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membentangkan nota Jemaah Menteri untuk menamatkan moratorium (penangguhan) penawaran kursus pengajian kejururawatan peringkat diploma swasta berkuatkuasa 1 Ogos.
"Penamatan ini bagi memberi laluan peningkatan pengajian itu susulan penurunan jumlah pengajian tinggi swasta (IPTS) yang menawarkan jurusan berkenaan.
"Sekiranya perkara ini tidak diatasi dibimbangi negara akan mengalami masalah kekurangan jururawat berdaftar bagi jagaan populasi menjelang 2030," katanya di Persidangan Dewan Negara, hari ini.
Jelasnya, perincian penamatan moratorium berkenaan akan dimaklumkan KPT melalui surat pekeliling dalam masa terdekat.
Selain itu, ketika ditanya soalan tambahan Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa mengenai kemungkinan lambakan jururawat berulang kembali, Mustapha berkata, KPT akan membuat kajian khusus bagi memastikan jumlah jururawat berdaftar mencukupi.
"KPT akan buat kajian keperluan jagaan kesihatan merujuk kepada sektor kesihatan termasuk fasiliti hospital dan klinik. Ia bagi memastikan jumlah jururawat berdaftar memenuhi keperluan industri dan populasi di negara ini," ujarnya.
Comentarios