
Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan syarikat perunding kewangan menggunakan guru untuk dijadikan ejen dan sekolah sebagai tempat mengadakan taklimat perkongsian perunding kewangan.
Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan KPM tidak pernah membenarkan mana-mana syarikat tawaran pinjaman masuk ke mana-mana sekolah bagi tujuan itu.
"Jadi sebab itu, perkara ini kita sedang siasat dengan teliti bagaimana mereka boleh masuk sampai ke premis-premis KPM.
"Kita percaya barangkali mereka masuk ini dengan kebenaran individu bukan kebenaran yang rasmi jadi sebab itu saya sebut pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mestilah pastikan mendapat kebenaran (KPM) terlebih dahulu.
"Kita kena pastikan sama ada mereka ini, orang yang datang dengan hasrat yang betul ataupun punya agenda lain dan ini mesti diambil tanggungjawab penuh di peringkat sekolah khususnya keselamatan dan apa sahaja yang ditawarkan, kena dilihat dengan bersungguh-sungguh kerana ia melibatkan keselamatan," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Program Ceria Ke Sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Khidmat Parlimen Nibong Tebal pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan lebih 4,000 penjawat awam terpedaya dengan sindiket tawaran pinjaman didalangi pegawai bank di beberapa institusi kewangan negara.
Sindiket dikatakan masuk ke kementerian dan jabatan awam di seluruh negara dengan berselindung di sebalik agensi kewangan yang membantu menguruskan kewangan.
Modus operandi dijalankan ialah selepas pinjaman diluluskan, peminjam akan membayar balik wang pendahuluan daripada sindiket manakala baki pinjaman dilaburkan dalam skim pelaburan.
Sehubungan itu Fadhlina berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan berharap ia dapat disiasat segera supaya nasib penjawat awam khususnya guru-guru dapat dibela.
"Di peringkat KPM memang kita ambil perhatian penuh dan sentiasa mengingatkan semua guru dan pegawai kita untuk mengambil langkah berjaga-jaga supaya dapat menangani daripada terjebak daripada aktiviti tersebut," tambahnya.
Comments