Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengaktifkan Op Payung jika berlaku bencana banjir di mana-mana negeri sehingga menjejaskan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan sudah dilaksana di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
"Ada beberapa laporan kita terima berkaitan dengan banjir, namun calon kekal berada di pusat peperiksaan di sekolah yang sama bagi mengikuti peperiksaan.
"Situasi banjir berada dalam keadaan terkawal, khususnya di Kelantan, ada beberapa tempat di Johor dan begitu juga dengan siap siaga kita di Sabah, Kedah serta Pahang.
"Apa pun yang berlaku, KPM sudah pun membuat siap siaga daripada awal," katanya dipetik pada sidang media Pengoperasian Peperiksaan SPM 2024 pada Khamis.
Peperiksaan secara bertulis untuk SPM bermula semalam sehingga 6 Februari depan.
Seramai 402,956 calon menduduki peperiksaan SPM 2024 di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara, membabitkan 44,968 petugas peperiksaan, termasuk pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan.
Terdapat enam negeri yang dikenal pasti berisiko berlaku banjir dalam tempoh peperiksaan SPM yang berlangsung bermula hari ini hingga 6 Februari depan, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah.
KPM melaksanakan Op Payung pada Disember lalu, membabitkan pelbagai agensi yang berjaya memindahkan semua calon peperiksaan ujian lisan SPM, khususnya di negeri terjejas banjir bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan memaklumkan kementerian itu menyediakan sebanyak 133 pusat peperiksaan alternatif untuk untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya berlaku banjir.
Selain itu KPM juga menyediakan khidmat bantuan psikososial kepada calon SPM yang mengalami tekanan akibat banjir.
Commenti