KPM salur RM1,000 kepada 128 pelajar, 5 guru terjejas kebakaran paip gas
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 1 min read

Seramai 128 pelajar dan lima guru dari 37 sekolah yang terjejas akibat insiden kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu menerima sumbangan tunai RM1,000 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, bantuan hasil kerjasama dengan Yayasan Guru Tun Hussein Onn dan Yayasan Didik Negara itu bertujuan meringankan beban dan memastikan mereka tidak tercicir.
"Bukan sahaja tumpukan soal pemberian sumbangan (kewangan) ini, KPM juga menyalurkan sokongan kaunseling dan pemulihan emosi kepada pelajar dan guru.
"Sementara mereka tidak pergi ke sekolah tempoh hari, (mereka) dapat (bantuan) baju sekolah dan sebagainya (buku teks, alat tulis) untuk meneruskan pendidikan mereka," katanya dipetik.
Fadhlina ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bencana Kebakaran Gas Putra Heights di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23 di Subang Jaya pada Rabu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan.
Selain itu Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Tun Hussein Onn, Zahirudin Mohammad Hanif dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Dr Jafri Abu turut bersama dalam majlis itu.
Dalam pada itu Fadhlina juga menyatakan komitmen pihaknya untuk terus memantau keperluan mangsa dari semasa ke semasa termasuk menyediakan kaunseling pasca bencana bagi memastikan kesejahteraan emosi pelajar dan guru terpelihara.
Comments