
Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah proaktif bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 hadir menduduki peperiksaan dijalankan.
KPM memaklumkan, pihaknya akan melaksana pengesanan awal terhadap pelajar Tingkatan 4 yang berisiko cicir bagi memudahkan pihak sekolah melaksana intervensi yang bersesuaian.
"Berdasarkan analisis daripada Aplikasi Pengurusan Ketidakhadiran ke Sekolah Semasa Peperiksaan, antara sebab utama ketidakhadiran calon ketika peperiksaan SPM 2024 adalah termasuk bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, meninggal dunia dan berpindah ke luar negara," katanya.
KPM melaksanakan pelbagai intervensi dan usaha berterusan antaranya memantau kehadiran murid ke sekolah secara harian, mengaktifkan Task Force Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM pada semua peringkat, dan mengadakan Dialog Prestasi Nasional bagi membincangkan isu berkaitan kehadiran calon SPM.
"Selain itu, KPM turut melaksanakan aktiviti berfokus seperti Program Ziarah Cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta, selain bekerjasama erat dengan pasukan keselamatan bagi memastikan kelancaran pengendalian peperiksaan awam sepanjang musim tengkujuh atau banjir," kata KPM dalam kenyataan.
Sementara itu KPM menegaskan, pihaknya sedang melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasikan pendidikan negara.
Ia merangkumi pelbagai fokus termasuklah menangani keciciran pembelajaran dan cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan: Pelanjutan Dasar Pendidikan Wajib dari Pendidikan Rendah hingga Pendidikan Menengah.
"RUU Pendidikan (Pindaan) berkaitan pelanjutan Dasar Pendidikan Wajib dari pendidikan rendah hingga pendidikan menengah ini akan dibentangkan di Parlimen setelah semua proses selesai termasuk diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri," menurut kementerian itu.
Comentarios