Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengumpul laporan kerosakan fasiliti sekolah-sekolah yang terjejas banjir di seluruh negara.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah yang mengalami kerosakan akibat banjir akan dibaik pulih dengan segera sebelum sesi persekolahan akan datang bermula.
"Kementerian sedang menunggu laporan daripada semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
"Kami akan pastikan infrastruktur sekolah terlibat akan dibaiki segera untuk keselesaan anak-anak melalui peruntukan bencana yang sedia ada," katanya dipetik.
Fadhlina sebelumnya mengadakan lawatan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas dan beberapa sekolah di daerah itu yang terjejas banjir.
Turut hadir pada lawatan itu ialah Pengarah JPN Kelantan, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz.
Sementara itu sebagai mengulas persiapan KPM memandangkan gelombang banjir khususnya di Kelantan dijangka lebih buruk selepas ini, Fadhlina berkata, KPM bersiap siaga sepenuhnya termasuk kemungkinan berlaku situasi luar jangka yang mungkin menyukarkan calon SPM untuk hadir.
Comments