Garis panduan dan mekanisme berkaitan kemasukan tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura sedang dikemaskini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata inisiatif hasil perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong itu bakal membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid di kawasan miskin bandar, pinggir bandar serta luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.
Selain itu ia akan turut mengukuhkan hubungan diplomatik antara dua negara.
"Ia bukan satu perkara yang asing dan pernah dilaksanakan sebelum ini dengan (melibatkan tenaga pengajar) Amerika Syarikat dan Korea Selatan untuk bahasa Korea, jadi saya tidak fikir ia perkara yang sukar (untuk dilaksanakan)," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Koleksi Merdeka 2024 Prospec KPM X Fazura di Kuala Lumpur pada Isnin.
Fadhlina baru-baru ini berkata, kementeriannya berusaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dengan tidak mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Pihaknya turut mengalu-alukan pembabitan golongan pesara guru bahasa Inggeris dalam usaha meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kawasan pedalaman.
Bagi meningkatkan penguasaan guru tempatan, Fadhlina berkata, beberapa program telah dijalankan termasuk kursus bahasa Inggeris untuk Guru Prasekolah dan program Peningkatan Kemahiran Profesional Guru Bahasa Inggeris (Pro-ELT) bagi memastikan guru mencapai minimum C1 dalam Rangka Kerja Rujukan Eropah Biasa untuk Bahasa (CEFR).
Kommentare