Oleh: Abdullah Zaid
Sebanyak 663 projek swasta yang sakit dan terbengkalai berjaya diselesaikan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam tempoh kurang daripada dua tahun.
Menterinya, Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) berkata intervensi di bawah Taskforce Projek Perumahan Swasta dan Terbengkalai (TFST) itu berjaya menyelamatkan 78,554 pembeli rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM57.09 bilion.
"Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2023, pasukan khas berjaya menyelesaikan 452 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai melibatkan 53,697 unit rumah dengan GDV sebanyak RM39.8 bilion.
"Manakala, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mei 2024 ini, sebanyak 211 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai berjaya dipulihkan dengan GDV sebanyak RM17.2 billion yang membabitkan 24,857 unit rumah," katanya ketika sesi soal jawab Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai bentuk bantuan disediakan oleh kementerian terhadap pembeli rumah yang berdepan dengan masalah projek sakit.
Selain itu, menyentuh soalan tambahan Roslan Hashim (PN- Kulim Bandar Baharu) mengenai projek mengenai 24 projek sakit Prima, Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata kementeriannya sedang mencari alternatif termasuk penelitian rekod kontraktor yang terlibat dalam projek Prima.
“Mana-mana rekod kontraktor tidak cemerlang akan ditamatkan kontrak, dan kontraktor perlu ada rekod cemerlang untuk memastikan projek sakit dan kepentingan pembeli dapat dibela, saya yakin 24 projek sakit akan ‘sembuh’ menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.
Comments