
Oleh: Azuan Ab Rahman
Sebanyak 475 projek perumahan sakit melibatkan 59,050 unit rumah berjaya dipulihkan sepanjang tahun lepas.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata jumlah itu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM52.67 bilion diselesaikan menerusi usaha Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) .
Jelasnya, jumlah projek terbabit merangkumi 441 projek yang memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Selain itu 25 projek berstatus lewat kembali lancar dan sembilan projek terbengkalai berjaya diselesaikan melalui kaedah penyiapan projek sehingga memperoleh CCC atau Sijil Layak Menduduki (CFO) dan kaedah penyelesaian pembeli.
"Secara keseluruhannya GDV projek yang berjaya dipulihkan pada tahun lepas menunjukkan peningkatan sebanyak 30.62 peratus berbanding GDV pada 2023 sebanyak RM39.81 bilion.
"Projek yang memperoleh CCC bagi 2024 meningkat 11.93 peratus berbanding 394 projek tahun sebelumnya manakala 54,420 unit rumah telah memperoleh CCC tahun lepas berbanding 39,028 unit rumah pada 2023," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, Kerajaan MADANI komited mempergiatkan usaha pemulihan projek-projek perumahan swasta sakit serta terbengkalai melalui langkah-langkah strategik dan kerjasama pelbagai pihak.
Beberapa penambahbaikan akan dilaksana tahun depan sebagai sebahagian langkah strategik bagi menangani isu projek terbengkalai.
"Ia seiring dengan hasrat KPKT iaitu tiada projek terbengkalai menjelang 2030. TFST akan terus berusaha untuk membantu pembeli-pembeli yang terlibat dengan projek perumahan swasta yang sakit, lewat dan terbengkalai dengan menyediakan penyelesaian yang sewajarnya," katanya.
댓글