Kerajaan akan memastikan harga kediaman mampu milik tidak dinaikkan susulan langkah kerajaan melaksana penyasaran subsidi diesel.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kediaman jenis itu tertakluk di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) dan dikawal kementerian.
"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau, termasuk rumah mampu milik dibina di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara yang juga dikawal di bawah KPKT," katanya dipetik.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sepang itu menegaskan semua kediaman mampu milik di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dijual dibawah harga RM300,000 dan kementeriannya akan berusaha memastikan ia terus dipatuhi.
Mengulas mengenai kenaikan harga rumah bukan mampu milik, beliau berkata ia bukan di bawah kawalan KPKT dan bergantung kepada penawaran serta pembelian dilakukan secara terbuka.
"Bagi rumah yang pembinaannya sudah diluluskan, ia terikat dengan perjanjian jual beli dan tidak boleh diubah. Sekiranya ada kenaikan harga rumah mampu milik, pemaju perlu kemukakan permohonan kepada kerajaan dan setakat ini memang kita kawal harga rumah terbabit," tambahnya.
Aiman Athira sebelumnya hadir ke Majlis Korban Sentuhan Kasih Parlimen Sepang dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta KPKT, di Cyberjaya pada Khamis.
Sebanyak 33 lembu dikorbankan pada program itu untuk diagihkan kepada asnaf di kawasan Sepang dan golongan memerlukan dengan 13 darinya adalah sumbangan Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen diwakilinya.
Comments