top of page

KPDN rangka penglibatan orang ramai banteras penyelewengan barang bersubsidi



Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka penglibatan lebih menyeluruh orang ramai dalam memerangi penyelewengan barang kawalan bersubsidi di Sabah dan Sarawak.


Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, gerakan itu akan memfokus kepada pemantauan barang kawalan bersubsidi terutama bahan api diesel dan petrol RON95.


"Gerakan ini dilaksanakan susulan daripada keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel secara berperingkat bermula dengan Semenanjung Malaysia.


"Manakala keputusan pengecualian Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam penyasaran subsidi diesel pada masa ini dibuat mengambil kira pelbagai faktor," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau menerangkan antara faktor pengecualian dibuat ialah kebergantungan tinggi para pengguna khususnya di Sabah dan Sarawak kepada penggunaan kenderaan bahan api diesel disebabkan faktor geografi dan kekurangan jalan perhubungan darat.


Juga diambil kira pertimbangan risiko kesan rantaian (chain effect) kadar harga barangan dan perkhidmatan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang sememangnya lebih tinggi berbanding di Semenanjung. Termasuk Tahap kesediaan dan akses maklumat pengguna bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan untuk pemprofilan (profiling) penyasaran subsidi diesel bagi pengguna individu, agri komoditi dan sektor pengangkutan awam serta barangan.


"Oleh itu Kerajaan memutuskan untuk meneruskan kaedah sedia ada penyaluran subsidi pukal diesel di peringkat runcit bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.


"Dianggarkan subsidi bahan api diesel bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tahun 2024 ialah mencecah RM3.6 bilion," katanya.


Bagi membendung ketirisan, kata Armizan, Kerajaan telah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan berkaitan termasuk KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) untuk memperkasa strategi dan pendekatan bagi meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.


Di peringkat KPDN pula, katanya, satu gerakan massa yang melibatkan orang ramai sedang dirangka untuk membantu penguatkuasaan dalam memerangi ketirisan subsidi melalui pemantauan dan penyaluran maklumat.


"Penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi bukan sahaja satu kesalahan di sisi undang-undang, malah penafian hak subsidi rakyat. Perbuatan memperdagangkan bantuan subsidi secara haram dan bertentangan dengan undang-undang merupakan sabotaj ekonomi negara dan agenda kerajaan dalam penyaluran bantuan sosial kepada golongan yang memerlukan.


"KPDN menyeru semua pihak termasuk orang ramai terus menjadi mata telinga Kerajaan dalam menyalurkan sebarang bentuk penyelewengan dan penyeludupan agar aktiviti yang merugikan negara dan rakyat ini dapat dibanteras.


"KPDN memberikan jaminan akan bertindak segera terhadap setiap aduan," katanya lagi.


Orang ramai boleh melaporkan sebarang maklumat kepada KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page