KPDN rancang perluas inisiatif MySaveFood elak pembaziran
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merancang memperluaskan inisiatif MySaveFood ke pasar malam seluruh negara ke arah matlamat mengurangkan pelepasan karbon akibat pembaziran makanan serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3.
Timbalan Menterinya, Dr Fuziah Salleh berkata, inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan akses kepada makanan untuk golongan penerima, malah kejayaan membuktikan bahawa kerjasama antara pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak sukarela mampu membawa perubahan yang bermakna.
"Ianya bukan hanya sebagai amal kebajikan, tetapi satu pendekatan lestari dan holistik untuk menangani kebuluran dan pembaziran secara serentak.
"Pada tahun 2025, sebanyak 69.1 tan makanan telah berjaya diselamatkan daripada 173 Bazar Ramadan RAHMAH melalui pelaksanaan inisiatif MySaveFood.
"Inisiatif ini dilaksanakan di seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan, termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan yang menjadikannya satu usaha berterusan yang inklusif dan menyeluruh," katanya menerusi satu kenyataan.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pelancaran Hab Pengagihan Makanan Baharu bersempena Sambutan Ulang tahun ke-10 penubuhan The Lost Food Project (TLFP) yang merupakan salah satu rakan strategik utama bagi Program Food Bank Malaysia di bawah KPDN.
Majlis bersejarah itu turut disaksikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Zara Salim, Raja Permaisuri Perak bersama barisan rakan strategik, wakil industri makanan dan badan bukan kerajaan.
Menurut Fuziah, pelancaran hab pengagihan makanan baharu oleh TLFP itu merupakan penambahbaikan daripada pihak TLFP dalam usaha berterusan untuk menangani isu keselamatan makanan dan pembaziran makanan di negara ini.
Katanya, KPDN merupakan kementerian yang secara langsung menyelaras program bank makanan dengan kerjasama pihak NGO.
Melalui pelaksanaan program bank makanan serta teknologi retort, beliau berkata, ia sekali gus memberi manfaat secara menyeluruh daripada inisiatif ini.
"Antara pencapaian utama KPDN dalam membangunkan ekosistem bank makanan negara termasuk menjalinkan kerjasama strategik dengan sembilan Rakan Strategik Utama KPDN dan mewujudkan pantri Food Bank Siswa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
"Penyelesaian inovatif turut diperkasakan seperti pelaksanaan program mesin retort untuk menyelamatkan lebihan makanan dan menggalakkan kesukarelawanan melalui program Generasi Anak Muda (GEMA) dalam inisiatif MySaveFood melalui aplikasi ReMeal," ujar beliau yang juga Setiausaha Agung KEADILAN.
Comments