
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memperkasa prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan berkaitan isu beras.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya komited untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani isu beras campuran secara tidak sah.
Justeru, Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 akan dikuatkuasa bagi mengenal pasti pihak yang bertindak membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis dan pelabelan beras.
"Dalam menguatkuasakan akta ini, analisa sampel beras adalah aspek yang amat penting dalam menentukan beras putih import (BPI) dan beras putih tempatan (BPT).
"Mengambil kira MARDI kini mempunyai kepakaran melalui Teknologi Pencapjarian DNA beras, KPDN akan merujuk MARDI sebagai pihak berwibawa," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Armizan mengadakan pertemuan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan diberi taklimat berkaitan dapatan kajian isu percampuran beras BPI dan BPT di pasaran.
Sementara itu jelasnya, selain MARDI, KPDN juga akan memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Kimia Malaysia.
Pihaknya juga akan memperketat pengurusan ekshibit sampel beras dan kebolehterimaan barang bukti di mahkamah.
"Ini bertujuan untuk melindungi kepentingan pengguna dan sekali gus membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam agenda menambah baik industri padi dan beras negara," tambahnya.
Comentários