Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memulakan pemantauan hari pertama pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan kawalan harga 14 jenis barangan sepanjang sambutan tersebut.
Dalam operasi 'Kita Gempur' itu, pasukan penguatkuasaan diketuai Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohd Sayuti Bakar membuat tinjauan harga di pasar raya Village Grocer, Bangsar Baru, Kuala Lumpur.
"Program turun padang ini diadakan bagi memantau pelaksanaan pematuhan harga barangan yang dikawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2024 oleh para peniaga yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 27 Disember iaitu selama lima hari.
"Dalam turun padang ini, saya turut mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi bekalan dan harga barangan khususnya melibatkan sembilan item yang dikawal harganya di Semenanjung Malaysia manakala tambahan lima barangan lagi dikawal harganya di Sabah, Sarawak dan Labuan, menjadikan jumlah keseluruhan barang dikawal adalah 14 item," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sayuti berkata KPDN berharap agar semua peniaga dapat mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan sepanjang tempoh Skim Harga Maksimum Perayaan Krismas 2024 dengan mematuhi harga yang ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan dikawal harganya.
"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang gagal mematuhi dan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," tegasnya.
Bagi kesalahan melanggar penetapan harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan, katanya.
Jelas Mohd Sayuti, syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
"Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau
dikompaun sehingga RM10,000," ujarnya.
Beliau mengingatkan pengguna supaya sentiasa berhemah ketika berbelanja sepanjang musim perayaan ini dan menerusi inisiatif Kita Gempur, penyertaan orang ramai untuk bersama-sama dalam membanteras aktiviti manipulasi dalam perdagangan serta pelanggaran undang-undang berkaitan amat diperlukan.
Aduan juga boleh disalurkan melalui saluran WhatsApp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my; pusat panggilan 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
Comments