Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan melancarkan langkah strategik baharu untuk menggempur aktiviti perniagaan tidak beretika dan ketirisan barang kawalan serta bersubsidi.
Inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (Kita Gempur) itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Madani Rakyat 2024, Sayangi Sabah di Likas, pada Sabtu dengan menyasarkan kepada keterlibatan masa dan kebersamaan pelbagai pemegang taruh.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu mensasarkan penipuan perniagaan dalam talian (e-dagang), membanteras monopoli bermasalah dan kewujudan kartel dalam bentuk pakatan harga, pasaran, pengeluaran serta tipuan bida.
"Selain memperkasa aspek penguatkuasaan, gerakan ini juga akan memberikan fokus kepada advokasi kepenggunaan dan advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-Berkat).
"Ia meliputi (K) agensi Kerajaan, (I) pemain Industri, (T) pematuhan Tatakelola dan (A) partisipasi awam. Melalui sinergi yang diwujudkan, ia akan mengukuhkan kerjasama antara rakan strategik dengan penguat kuasa KPDN agar satu sistem pengawasan dan pelaporan yang lebih bersepadu dapat dilaksanakan," katanya.
Sementara itu tambah beliau, kementeriannya beriltizam untuk melibatkan seluruh rakyat dalam memastikan usaha membanteras manipulasi dan ketirisan barangan kawalan dapat ditangani.
Bagi tujuan itu pihaknya telah mewujudkan platform pelaporan khusus yang boleh diakses melalui kod QR, membolehkan orang ramai melaporkan salah laku melalui pelbagai saluran, termasuk WhatsApp dan talian hotline 24 jam.
"KPDN menggesa masyarakat untuk bersama-sama menyokong inisiatif Kita Gempur dan menjadi sebahagian daripada gerakan masa agar aktiviti yang merugikan rakyat dan negara dapat dibanteras," katanya.
"KPDN telah mewujudkan platform pelaporan khusus yang boleh diakses menerusi imbasan kod QR (Quick Response) yang menyediakan beberapa saluran rasmi bagi mengemukakan aduan.
"Pada masa sama, sebagai langkah memaksimumkan penglibatan awam, KPDN akan memilih beberapa tempat seperti pasar raya, premis perniagaan dan stesen minyak seluruh Malaysia yang akan dijadikan sebagai titik tumpuan pelaporan aduan," tambahnya.
Melalui inisiatif "Kita Gempur" rakyat turut boleh membuat laporan atau aduan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000, talian hotline yang beroperasi 24 jam iaitu di talian 03 8882 6088/6245 dan saluran aduan #HapusKartel yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pada pautan://www.mycc.gov.my/e-aduan.
Comments