Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited untuk memperluas program Jualan Rahmah Bergerak bagi membantu rakyat mendapat barangan keperluan pada harga lebih murah.
Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata setakat minggu lalu program Jualan Rahmah yang mula diperkenalkan bermula Januari 2023, dengan sejumlah 1,133 lokasi telah terlibat di seluruh negara sehingga hari ini.
Katanya, terdapat tiga model Jualan Rahmah iaitu dalam premis, luar premis dan #KedaiCariRakyat iaitu Jualan Rahmah Bergerak.
Bagi program Jualan Rahmah Bergerak yang dilancarkan sejak 16 Jun, ia setakat minggu lalu telah berjaya dilaksana di 396 lokasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
"Penganjuran Jualan Rahmah memberi kesan positif dalam usaha meringankan kos sara hidup rakyat Malaysia, ia dapat dilihat melalui jumlah keseluruhan pengunjung yang hadir iaitu lebih kurang dua juta orang dengan rekod jualan melebihi RM50 juta.
"Bagi Jualan Rahmah Bergerak pula, ianya mempunyai kelebihan di mana lori-lori Jualan Rahmah Bergerak dapat dipastikan sampai secara terus kepada golongan sasar.
"Pelaksanaannya berkonsepkan ‘Kedai Cari Rakyat’ dan ia mampu dilaksanakan di tempat berbeza pada hari yang sama, di mana lori yang membawa barang keperluan asas harian mampu masuk ke kampung-kampung, kawasan B40, PPR dan taman perumahan kos rendah," katanya dalam kenyataan.
Pada Ahad, Fauziah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan pelepasan 16 lori Jualan Rahmah Bergerak Peringkat Kebangsaan #KedaiCariRakyat.
Ia bersempena sambutan Hari Pengguna Kebangsaan di Pavilion Bukit Jalil.
Sementara itu Fuziah berkata, KPDN mengajak dan menggalakkan lebih ramai lagi pemain industri sama ada pasar raya, pemborong dan peruncit supaya dapat bersama-sama menjayakan aspirasi ini dalam mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.
KPDN juga merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di atas komitmen yang mampan sepanjang menjayakan Program Jualan Rahmah.
Comments